Manifestasi Kelancaran PAU 2023 Tolak Dakwaan Negatif Terhadap UMNO – Nor Sabrina

BANDAR BAHARU, 17 Jun – Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang telah berlangsung lancar minggu lalu adalah ruang dan peluang sepenuhnya bagi anggota parti untuk menolak pelbagai dakwaan negatif berkaitan UMNO khususnya dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor yang menganggap kelancaran persidangan terbabit memberi impak cukup tinggi khususnya bagi negeri-negeri yang bakal mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuklah Kedah.

Katanya, penjelasan dan penerangan dari kepimpinan parti khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam tiga ucapan berbeza iaitu Taklimat Presiden, ucapan dasar dan penggulungan PAU2023 adalah jawapan sebenar kepada kerelevanan UMNO.

“UMNO ini berpijak di bumi nyata, mendepani realiti dan sedar bahawa hari ini kita berpadu dalam Kerajaan Perpaduan namun tidak pernah sesekali mengenepikan asas tujuan yang menjadi pegangan iaitu perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Selama ini yang memburuk-burukkan UMNO dan kepimpinannya adalah pihak lawan sedangkan UMNO kekal mengamalkan konsep sederhanaan, mahukan kesejahteraan dan keharmonian tetapi dalam masa yang sama tidak akan sesekali berkompromi atas hal-hal membabitkan bangsa, agama Islam dan kedaulatan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau, kesepakatan yang diterajui oleh Kerajaan Perpaduan iaitu gabungan 19 parti-parti politik tanah air adalah manifestasi kebersamaan untuk melihat masa hadapan yang lebih baik dalam negara.

“Biarpun pembentukan ini dibuat atas titah Baginda Yang di-Pertuan Agong, namun ia adalah usaha kesepakatan dan kesungguhan bagi memastikan rakyat benar-benar kembali tenang, sejahtera dan dapat meneruskan kehidupan lebih baik setelah pelbagai kemelut politik berlaku sebelum ini.

“Kerana itu jugalah jentera bagi negeri-negeri yang bakal mendepani PRN perlu menjadikan PAU 2023 ini sebagai info atau rujukan bagi pelbagai isu yang selama ini dimomokkan oleh pihak lawan.”

Jelas Norsabrina, ini terbukti kerana sepanjang lebih enam bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, dapat dilihat bahawa kepimpinan UMNO yang ada di dalamnya tidak duduk diam.

“Lihat bagaimana menteri-menteri UMNO bekerja dan menyelesaikan permasalahan rakyat dan negara misalnya isu kedaulatan tanah air iaitu kes tuntutan Sulu yang berjaya kita nafikan, begitu juga kalimah Allah yang amat sensitif dan macam-macam lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.