Mesyuarat UMNO Cawangan, Bekerjalah Seperti Orang Mahu Menang – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 23 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti supaya bekerja dengan tujuan untuk mencapai kemenangan.

Tegasnya, setiap langkah dan pendekatan juga haruslah dizahirkan dengan semangat yang jitu agar UMNO/Barisan Nasional (BN) mampu bangkit semula.

“Kalau mahu menang, bekerjalah seperti orang yang mahu menang. Pertama, pasangkan niat kita sebaiknya. Ia juga perlu disusuli dengan langkah, semangat dan cara bekerja seperti orang yang mahu berjaya.

“Bicara kita, pendekatan, senyum, tangis waima marah kita sekalipun mestilah seperti orang yang mahu menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan, Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat; Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Rahman dan seluruh saf kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Nerus.

Untuk rekod, persidangan cawangan UMNO seluruh negara akan diadakan bermula 22 April 2024 sehingga 2 Jun 2024 manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.