PRU15: Yakin Undi 18 Berpihak Pada BN Lembah Pantai

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pertambahan pengundi 18 di parlimen Lembah Pantai tidak menjadi isu besar buat calon parlimen Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan, Datuk Ramlan Askolani.

Ini kerana jelasnya, beliau yakin yang dirinya mampu menambat hati anak muda berikutan kedudukan dan program sebelum ini lebih banyak mendekati hati anak muda.

“Saya adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan dan saya juga pengerusi Majlis Sukan Wilayah, dan bila sukan SUKMA baru ini, kita terlibat dalam acara sukan saya terlibat secara langsung melihat mereka punya mainan, persediaan, sukan, jadi saya mempunyai ciri-ciri anak muda,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beberapa isu lain turut perlu diberi perhatian seperti penyediaan tempat berniaga yang lebih selesa untuk warga Lembah Pantai serta rumah yang mampu dimiliki untuk penduduk di kawasan terbabit.

“Sebab itu saya memang yakin untuk menang kali ini sebab saya adalah anak jati parlimen Lembah Pantai, saya sudah terlibat dengan kerja-kerja ini sejak 90-an lagi, saya juga merupakan AJK Pemuda Bahagian tahun 1995 sehingga 2004.

“Ini bermakna banyak masyarakat di sini mengenali saya, dan saya berterusan, tidak henti memberikan khidmat kepada warga Lembah Pantai,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit