PRU15 Perlu Diadakan Segera Untuk Hadapi Kemelesetan Ekonomi Global – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 amat penting untuk diadakan dengan segera kerana negara sedang kesuntukan masa bagi berdepan dengan kemelesetan ekonomi global yang diramalkan berlaku pada tahun hadapan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2023 bukanlah rekaan semata-mata oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) sebaliknya berdasarkan pelaporan organisasi kewangan dan ekonomi antarabangsa.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tiga bulan lalu mengunjurkan prospek ekonomi global ‘menjadi gelap dengan ketara’ sejak April 2022 dan meramalkan dunia berdepan kemelesetan ekonomi tidak lama lagi. Agensi itu malah dikatakan akan menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi global tahun ini buat kali ketiga dan pakar ekonomi IMF dilaporkan mahu memuktamadkan angka baharu.

“Sebuah institut pelaburan terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat pula meramalkan kemelesatan ekonomi dunia mungkin berlaku lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini. Ini bermaksud hanya berbaki tempoh kurang tiga bulan sebelum ‘recession’ yang akan menjejaskan kebanyakan negara bermula atau lebih teruk ia mungkin terjadi seawal Disember tahun ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi BN turut berkata, Malaysia amat memerlukan kerajaan stabil serta kukuh dan tiada gabungan politik yang mempunyai kemampuan tersebut selain UMNO/BN.

“Malaysia amat memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kukuh yang mampu bergerak sehaluan dalam mengatur langkah serta strategi berkesan untuk melindungi Malaysia daripada impak buruknya. Sejarah Malaysia sesudah PRU ke-14 berakhir pada 9 Mei 2018 membuktikan tiada gabungan politik selain UMNO/BN memilki kemampuan tersebut.

“Malaysia telah melalui pengalaman yang amat memeritkan sepanjang berkerajaan gagal selama 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan di bawah Perikatan Nasional (PN). Negara di bawah pentadbiran PH memiliki sebuah kerajaan cacamarba, tidak tersusun dan lebih mengutamakan agenda politik berbanding kepentingan rakyat dan negara.

“Pentadbiran negara jadi bersimpang-siur dengan setiap parti politik dalam kerajaan mentadbir portfolio kabinet masing-masing mengikut agenda dan fahaman sendiri,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, meskipun kerajaan Perikatan Nasional (PN) disertai oleh sebilangan wakil rakyat daripada UMNO/BN, namun ianya diketuai oleh pemimpin politik yang bermuslihat untuk menamatkan lawan politik bagi mengukuhkan kedudukan.

“Negara di bawah pentadbiran kerajaan PN disertai sebilangan wakil rakyat BN, namun diketuai pemimpin politik bermuslihat menamatkan lawan politik bagi mengukuhkan kedudukan. Malaysia dengan kewujudan kerajaan campuran ketika ini menyaksikan Perdana Menterinya tidak dihormati, malah diserang dan cuba dilemahkan anggota pentadbiran daripada parti lain.

“UMNO/BN yakin rakyat akan memberi sokongan kuat kepada gabungan politik ini untuk kembali membentuk kerajaan dominan kerana UMNO/BN pernah membuktikan kemampuannya mengurus ekonomi negara. Semoga harapan rakyat supaya mandat dikembalikan kepada mereka untuk memulihkan negara jadi kenyataan dan kepada Allah S.WT kita berserah selepas segala daya upaya,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.