Kerajaan Perlu Pertimbangkan Semula Penangguhan Bayaran Pinjaman LPPSA – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 9 APRIL – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan semula penangguhan bayaran Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada penjawat awam.

Katanya, penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan dilakukan oleh institusi-institusi perbankan sangat bererti bagi penjawat awam bagi membantu keluarga mahupun ibu bapa mereka yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Ramai penjawat awam terpaksa mengikat perut sepanjang tempoh PKP ini untuk menanggung keluarga atau ibu bapa di kampung yang terjejas kerana tidak dapat bekerja.

“Ini adalah soal kelangsungan hidup penjawat awam bukan sahaja semasa waktu PKP tetapi apakah yang akan berlaku kepada mereka dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang?,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Tambah Dr Najmil lagi, menangguhkan pembayaran pinjaman adalah langkah terbaik untuk meningkatkan ‘cash flow’ di tangan rakyat yang penting untuk meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi serta survival rakyat.

“Kerajaan diharapkan dapat menilai semula keputusan ini untuk membela kebajikan penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang kepada negara,” tegasnya.

 
Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menjelaskan tiada penangguhan pembayaran balik ansuran bulanan perumahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.– UMNO ONLINE
@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.