Malaysia Anjur Persidangan Biodiversiti ASEAN

PUTRAJAYA, 7 Julai – Malaysia menganjurkan Persidangan Biodiversiti ASEAN 2021 (ACB2021) pada Isnin lepas, yang antara lain membincangkan tindakan dan usaha penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam memulihara kepelbagaian biologi dan perkhidmatan ekosistem di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Persidangan itu membincangkan topik mengenai Kerangka Biodiversiti Global Pasca-2020; hala tuju ASEAN pasca pemulihan pandemik; biodiversiti masa kini dan akan datang; mengarusperdanakan biodiversiti dan sinergi penjagaan alam semula jadi.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang merasmikan persidangan itu berkata Persidangan ACB2021 bertujuan memperkukuhkan pendirian negara-negara ASEAN sebagai persediaan ke Persidangan Negara Parti kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi Ke-15 (CBD15) yang akan diadakan di Kunming, China pada hujung tahun ini.

“Penganjuran ACB2021 ini adalah sangat signifikan bagi menunjukkan kepimpinan Malaysia dalam pengurusan biodiversiti di rantau ASEAN dan antarabangsa,” kata Shamsul Anuar dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rantau Asia Tenggara sangat kaya dengan sumber biodiversiti yang juga menyediakan sistem sokongan kehidupan.

“Ekosistem yang sihat memberi banyak manfaat kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan hidup manusia. Oleh itu, biodiversiti hendaklah dipulihara, digunakan secara mampan dan faedah daripada penggunaannya dikongsi secara adil dan saksama,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.