Pemuda UMNO Laksana Inisiatif Pastikan Pesakit COVID-19 Mendapat Rawatan

JASIN, 6 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Jasin hari ini mengambil inisiatif menyediakan sebuah van khas kepada semua pesakit COVID-19 dalam parlimen tersebut untuk membawa mereka yang positif ini ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, antara permasalahan utama yang selalu terjadi pada saudara-saudara dan sahabat-sahabat yang positif COVID-19 adalah masalah kenderaan untuk membawa mereka ke CAC sebelum mereka di bawa ke PKRC MITC ataupun hospital.

“Dengan peningkatan kes COVID yg semakin tinggi, maka bebanan petugas kesihatan untuk menyediakan kenderaan membawa mereka ini ke CAC juga adalah amat terhad,” maklumnya kepada UMNO Online.

Katanya, dengan risiko mendapat jangkitan, ada dikalangan saudara-saudara mereka tidak berani membawa mereka tanpa persediaan lengkap seperti PPE malah ada juga di antara mereka yang tidak boleh memandu kenderaan sendiri disebabkan suami ataupun bapa sudah dimasukkan ke hospital terlebih dahulu.

“Maka kita mengambil inisiatif untuk mengurangkan bebanan mereka yang positif ini di dalam Parlimen Jasin untuk membawa mereka yang positif ini ke CAC,” ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka.

Tambahnya, perkhidmatan ini adalah secara percuma berdasarkan kekosongan jadual van tersebut.

“Mana-mana individu yang ingin menggunakan khidmat ini, boleh menghubungi mana-mana AJK Pemuda UMNO Bahagian ataupun Ketua Pemuda UMNO cawangan masing-masing.

“Kami faham kesukaran yang anda semua hadapi di saat begini, maka biarlah kesukaran itu kita kongsi bersama. Moga Allah melindungi kita semua,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Faizal Mohd Salleh

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.