Kerajaan Wajar Manfaatkan Ordinan Darurat, Arah Bank Lanjutkan Moratorium Tanpa Caj Tambahan
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan agar memanfaatkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 sebagaimana yang telah dimasyhurkan untuk mengarahkan institusi kewangan memberikan moratorium secara otomatik kepada kumpulan tertentu tanpa mengenakan sebarang caj tambahan ataupun keuntungan terakru.
“Apa guna Proklamasi Darurat jika tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat?
“Apa guna Ordinan Darurat jika pihak-pihak tertentu dibiarkan mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat? Soal Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook.
Ujarnya, sejak semalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima banyak permintaan dan maklum balas orang ramai agar bank-bank dan institusi kewangan dapat memberikan moratorium sekurang-kurangnya tiga bulan mengambil kira Perintah Kawalan Pergeraka (PKP) 3.0 yang diisytiharkan kerajaan.
“Ramai yang mengadu susah dan makin tertekan dengan hambatan ekonomi yang kian meruncing lantaran pengurangan pendapatan yang mendadak akibat PKP yang menghadkan pergerakan dan membantutkan usaha memulihkan perniagaan masing-masing.
“Hakikatnya tiada satu bank ataupun institusi kewangan yang rugi jauh sekali muflis akibat penawaran moratorium waktu PKP kali pertama dilaksanakan dulu,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE