Raikan Aidilfitri Bersederhana, Berkongsilah Rezeki Dengan Insan Lain – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Hari raya Aidilfitri kali ini memberikan signifikannya yang tersendiri memandangkan kali kedua disambut ketika pandemik COVID-19, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun katanya, bersempena kemuliaan Syawal ini ianya diharapkan memberikan semangat baharu di samping menguatkan ikatan silaturahim dan ukhwah antara umat Islam.

“Dengan telus ikhlas, saya Ahmad Zahid Hamidi, ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, kepada seluruh keluarga besar UMNO, yang berada di akar umbi untuk merayakan syawal tahun ini.

“Tidak dilupakan saya juga ingin mengucapkan, salam Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Ini adalah tahun kedua kita berperang dengan pandemik COVID-19. Ramai yang terkesan dengan dampak ekonomi. Patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika merayakan Aidilfitri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata umat Islam telah berjaya mengharungi madrasah Ramadan penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

“Hari raya adalah hari kita meraikan sebuah kemenangan. Seharusnya ia disambut sederhana dan meriah. Berkongsilah rezeki dengan insan lain.

“Pandanglah kiri dan kanan, jika ada mereka yang memerlukan bantuan. Semua kita, tanpa mengira miskin kaya, berhak merayakan Aidilfitri yang mulia ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.