UMNO Perlu Kekal Menonjol, Populariti Di Mata Rakyat – Shahril Hamdan

PASIR SALAK, 7 April – UMNO mesti kekal menonjol serta memperkukuhkan populariti dalam kalangan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Katanya, UMNO ketika ini harus fokus dengan gerak kerja yang mengutamakan rakyat kerana ianya akan memberikan impak positif kepada parti menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“UMNO mesti mengekalkan kedudukannya yang tersendiri, bermakna kita punya tawaran mesti hebat termasuk calon yang kita kemukakan pada PRU-15 nanti.

“Bermakna naratif kita mesti utuh dan dapat menawan hati pengundi. Jadi daripada kita pening-pening memikirkan kenapa tidak ini… kenapa tidak itu.

“Lebih baik kita fokus 100 peratus macam mana hendak popularkan UMNO di mata rakyat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkenaan ketetapan parti bagi menentukan tempoh masa menyokong kerajaan Perikatan Nasional, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu berkata, masa menjadi penentu kepada langkah yang memberikan manfaat kepada parti.

“Masa itu penting, bagi saya politik ini masa itu banyak mempengaruhi kejayaan sesuatu keputusan.

“Jadi bagaimana kita hendak uruskan itulah kita hendak kaji pada Ahli Majlis Tertinggi UMNO (AMKT) tarikh mana yang paling sesuai,” ujarnya.

Tambah Shahril, beliau percaya sebarang keputusan yang dimuktamadkan harus memberikan kelebihan kepada parti.

“Yang kita rasa itu yang akan menjadi satu tarikh yang memberikan kelebihan kepada parti tetapi juga tidak meninggalkan kesan dan persepsi negatif.

Kerana kita kena buat keputusan ini bukan hanya untuk populariti parti tapi juga di mata rakyat itu yang lebih penting,” ulasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.