Pemuda UMNO Kecam Sekeras-Kerasnya Kenyataan Provokatif Presiden Perancis

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya kenyataan provokatif yang dikeluarkan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang telah mencalarkan imej Nabi Muhammmad SAW dan Islam.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, pada hari ini Pemuda UMNO telah menghantar memorandum kepada kedutaan Perancis mendesak agar Macron menarik balik kenyataannya.

“Pergerakan Pemuda UMNO hari membantah dan memohon satu kenyataan balas daripada Kedutaan Perancis mahupun kerajaan Perancis untuk menarik balik kenyataannya mengaitkan Rasulullah SAW dengan keganasaan.

“Kami kira ini satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan harus ditarik semula. Kita menghormati ruang untuk berbicara secara terbuka tapi ruang berbicara haruslah terhad. Kami mohon Presiden Perancis, Emmanuel Macron memohon maaf dan menarik balik kenyataannya kepada kerajaan Malaysia.

“Memfitnah dan mencemarkan imej Rasulullah serta mengaitkan Islam dengan keganasan adalah satu tindakan yang keji dan melangkaui batas. Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk memfitnah dan memburukkan sesebuah agama,” katanya pada sidang media di bangunan Intermark Mall, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

Tambah Ikmal Hazlan lagi, hubungan antarabangsa harus diteruskan tetapi janganlah hingga ke tahap menghina umat Islam.

“Kami menghormati hubungan bilateral antara Malaysia dan Perancis. Kami merasakan ini satu penghinaan yang amat terbesar pada kaum umat Islam, tambah-tambahan lagi (menjelang) sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Terdahulu, kenyataan Macron yang dibuat sebagai respon kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty di luar sekolahnya selepas beliau menunjukkan kartun Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara. – UMNO Online.

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.