Sokongan Masyarakat India Berikan Kekuatan Untuk Calon BN, Mohd Zaidi – Ahmad Zahid
TANJUNG MALIM, 24 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sokongan masyarakat India merupakan sebahagian besar kekuatan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) N 58, Slim.
Katanya, setiap satu undi amat penting untuk memastikan kemenangan ini berpihak kepada calon BN.

“Di dalam PRK Slim ini terdapat satu jumlah pengundi India, kita mohon dari Makkal Sakti, MIC, IPF dan MIJP dan parti-parti yang lain untuk menggerakkan jentera kerana kita amat yakin rakan-rakan kita dalam komponen BN, Friends of BN bersatu hati untuk memberi kemenangan yang mutlak kepada Mohd Zaidi Aziz.
“Untuk menyelesaikan masalah kita mesti pilih wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah. Kita tahu wakil rakyat ini mewakili kerajaan negeri, wakil rakyat ini juga mewakili kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri kita punya kerajaan persekutuan … kita mesti pilih wakil rakyat yang mewakili kita untuk duduk pada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya semasa Ceramah Perdana bersama pengundi India di Padang Taman Bandar Baru, Slim River, malam tadi.
Turut hadir Pengarah PRK, Datuk Saarani Mohamad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim; Presiden Makkal Sakti, R.S Thanenthiran; calon BN, Mohd Zaidi Aziz dan pengundi-pengundi Taman Bandar Baru, Slim.
Ahmad Zahid juga menjelaskan bahawa calon bebas yang bertanding di Slim ini adalah parti serpihan dari Bersatu.
“Itu adalah parti serpihan dari Bersatu. Saya fikir parti itu tidak ada masa hadapan, parti yang ada masa hadapan boleh memperjuangkan rakyat ialah dari UMNO, BN, Muafakat Nasional kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat memberikan kepercayaan kepada Zaidi untuk menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N 58, Slim,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid lagi, PRK ini penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan dari pemimpin terdahulu.
“Kita tutup buku lama kita buka buku baru, kita buktikan di PRK Slim, kesilapan yang lalu kita maafkan di dalam PRK Slim agar mereka mahu mengundi calon BN pada 29 Ogos ini.
“Buktikan bahawa pengundi-pengundi di Slim menyokong Zaidi dengan jumlah yang paling ramai supaya memperlihatkan Makkal Sakti, IPF dan parti-parti yang lain termasuk MIC berusaha dengan keras untuk mencari pengundi-pengundi India pada kali ini untuk menyokong calon BN,” tegasnya lagi. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan