Beri Perhatian Kepada Wanita, Ibu Tunggal Hilang Pekerjaan

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berharap kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik hari ini kesan daripada penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 5.0 peratus pada April berbanding tempoh sama tahun lalu susulan pertambahan individu menganggur meningkat ketara kepada 778,800.

“Dalam situasi ekonomi yang serba mencabar ini tidak dinafikan banyak majikan terutamanya dalam bidang perniagaan terpaksa ‘buang pekerja’ mereka.

“PKP mencetus faktor kehilangan pekerjaan dan kesukaran mendapatkan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Jelasnya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Mei Kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus mencatatkan 826,100 penganggur, ini kadar adalah yang tertinggi sejak tahun 1989.

“Golongan wanita antara yang terkesan teruk apabila dilaporkan 72.2% wanita kehilangan pekerjaan sehingga hari ini, ditambah pula dengan impak penularan wabak covid 19 yang melanda negara.

:Ini satu statistik yang amat membimbangkan memandangkan negara masih belum betul-betul berjaya memutuskan rantaian virus tersebut.”

Justeru katanya, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia selaku sayap parti politik yang amat prihatin dan cakna pada isu-isu wanita terutamanya golongan muda mencadangkan beberapa langkah untuk mengurangkan impak ini.

Cadangan tersebut ialah:

1. Sebarang pemberhentian pekerja harus dilakukan melalui LIFO (last-in-first-out) tanpa mengira gender, ini seperti sistem yang diterima pakai antarabangsa

2.Satu sistem pengendalian harus dibentuk untuk mengkaji sebarang ketidakadilan berbangkit.

3.Jika perberhentian perlu dilakukan juga alternatif redeployment harus difikir dahulu sebelum sebarang tindakan itu dibuat.

4.Jika terpaksa diberhentikan juga mereka perlu diberitahu tentang peruntukan kerajaan yang sedia ada untuk “retraining” bagi menyediakan mereka bidang-bidang baru yang boleh diceburi.

5.Kita perlu tubuh satu pusat khas bagi menerima aduan dengan tujuan membantu kumpulan yang hilang pekerjaan ini.

6. Perlu diberi perhatian juga berapa ramaikah di kalangan mereka terdiri wanita yang menjadi ‘ketua isi rumah’ seperti ibu tunggal atau mereka yang menyara ibu bapa dan ahli keluarga. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.