PKPB: Kenderaan Cuba Rentas Negeri Balik Kampung Naik Sekali Ganda Kepada 1,248 

PUTRAJAYA, 17 Mei – Sebanyak 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, menunjukkan peningkatan satu kali ganda berbanding dua hari lepas, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kelmarin saya umumkan 508 kenderaan telah diarah untuk patah balik dan semalam, 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM.

“Maknanya (naik) lebih daripada sekali ganda rakyat yang cuba untuk curi-curi pulang ke kampung dan masih lagi nak balik ke kampung ” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Ismail Sabri turut memberi peringatan kepada mereka yang merentas negeri dan terlepas daripada sekatan jalan raya.

Katanya, tiada jaminan bagi golongan itu untuk terlepas sekatan jalan ketika perjalanan pulang ke bandar untuk bekerja semula.

“Saya ingin ingatkan, kalau terlepas sekatan jalan raya semasa mereka balik (kampung), tidak bermakna mereka terlepas juga untuk pulang balik ke Kuala Lumpur.

“Mungkin seronok terlepas tapi balik semula ke negeri mereka bekerja, belum tentu boleh terlepas. Tiada jaminan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan PDRM telah mengenakan 147 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 218,027 kenderaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyeru agar pemimpin masyarakat seperti penghulu, pemimpin politik, ketua agama, ketua adat dan pasukan sukarelawan seperti RELA mendidik komuniti masing masing mengenai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)

Jelasnya, ramai yang masih tidak mengetahui dengan jelas mengenai akta itu dan kesannya jika dilanggar, terutamanya oleh komuniti di luar bandar.

“Jadi pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan Akta 342 ini serta impak kegagalan patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penalti yang akan dikenakan kepada mereka jika langgar peraturan.

“Semua pihak perlu berganding bahu dengan kerajaan untuk menyedarkan rakyat terutamanya sewaktu perayaan Aidilfitri ini,” katanya.

Tambahnya, semalam PDRM telah menahan 132 individu atas kesalahan melanggar SOP, dan kesemua 132 individu telah direman. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.