PH Tumbang Dikata Khianat… BN Tumbang Dikata Demokrasi!

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas segelintir pihak yang menuding jari mengatakan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana pengkhianatan.

Katanya, apabila hal yang sama berlaku terhadap Barisan Nasional (BN) dikata pula sebagai demokrasi.

“Apabila wakil rakyat lompat parti sehingga tumbangnya kerajaan BN di Sabah dan Perak, itu dikatakan hak demokrasi, tapi apabila wakil rakyat lompat parti sehingga tumbangnya kerajaan PH di Persekutuan dan Melaka, itu dikatakan pengkhianatan,” tegas beliau dalam satu hantaran pendek menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu, kerajaan PH tumbang 24 Feb lalu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan PPBM keluar dari PH, selain 11 anggota PKR turut keluar dari gagasan itu. Ekoran itu, Perikatan Nasional dibentuk sebagai noktah terhadap kemelut politik yang mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas sokongan dari UMNO, PAS, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak dan wakil bebas.

Menyusul kemudiannya, Johor membentuk kerajaan baharu dan semalam, PH Melaka juga tumbang apabila dua ADUN PPBM iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) beralih sokongan kepada BN. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.