MEDAC Sasar Bantu Lebih 192,000 Usahawan Terjejas Akibat COVID-19

YAN, 26 Sept – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan untuk membantu seramai 192,541 usahawan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dalam masa terdekat.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata bantuan itu adalah dengan cara mempermudahkan usahawan tersebut mendapatkan pinjaman yang disediakan oleh pelbagai agensi di kementerian berkenaan.

“Kita akan berusaha untuk membantu semua usahawan daripada usahawan informal (peniaga kecil tidak berdaftar dan tiada syarikat) yang mungkin memerlukan pinjaman sekitar RM5,000, usahawan mikro yang mungkin memerlukan pinjaman RM10,000 atau RM20,000 sampailah ke usahawan industri kecil dan sederhana yang mungkin memerlukan pinjaman sehingga RM500,000.

“Sebelum ini Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mahu semua menteri untuk mempunyai KPI yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari. Jadi sasaran untuk membantu lebih 192,000 usahawan ini adalah KPI saya,” katanya dalam sidang media selepas program penyerahan sumbangan kepada usahawan dan keluarga terjejas banjir pada 18 Ogos lepas di sini hari ini.

Katanya, agensi yang menawarkan pinjaman di bawah MEDAC juga telah diminta untuk tidak terlalu bergantung kepada rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dalam menentukan kelayakan usahawan yang memohon pinjaman.

Dalam pada itu, Noh berkata pihaknya juga sedang menyusun semula semua 11 agensi di bawah MEDAC yang menyediakan kemudahan pinjaman agar peranan setiap agensi tersebut dapat dioptimumkan dan lebih fokus kepada golongan sasar.

“Semua agensi ini menawarkan kemudahan pinjaman dan ada had pinjaman tersendiri…ini yang sedang kita susun supaya agihan ataupun pembahagian pinjaman ini dapat diselaraskan supaya tidak mengelirukan rakyat dan benar-benar dapat melahirkan ‘bangsa usahawan’,” katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut, Noh menyampaikan sumbangan daripada Bank Rakyat berjumlah RM168,000 kepada 168 usahawan di daerah ini yang terjejas banjir ekoran fenomena kepala air pada 18 Ogos lepas.

Selain itu, bank berkenaan juga menyumbang sejumlah RM40,000 untuk diagihkan kepada 200 keluarga di daerah ini yang terkesan akibat bencana itu.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit