UMNO Teruskan Khidmat Bakti, Kebajikan Pada Rakyat Jadi Amalan – ADUN Sg Panjang

SUNGAI BESAR, 13 Jan – UMNO sentiasa mendokong amanat parti dalam melakukan kebajikan dan berkhidmat kepada rakyat dalam apa juga keadaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata secara lazimnya mereka sentiasa melakukan program mendekati rakyat untuk memastikan keadaan masyarakat di kawasan tersebut dalam keadaan baik.

“Di Sungai Besar khususnya di DUN Sungai Panjang kami mengambil pendekatan untuk UMNO di peringkat pimpinan dan juga jentera terus memberikan khidmat.

“Kita meneruskan politik khidmat bakti dan juga kita terus mendekati ahli, pemimpin dan juga rakyat khususnya dalam kalangan orang muda.

“Di peringkat pusat daerah mengundi dan peringkat gerak kerja pilihan raya, kita telahpun menggerakan program-program berskala kecil bagi memastikan keakraban dan kebajikan setiap individu ditangani.

“Walaupun ketika ini kita tidak melakukan sebarang ceramah yang berkelompok dan sebagainya namun kebajikan rakyat perlu kita ambil kira dan cakna,” katanya ketika ditemui UMNO Online, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengajak ahli UMNO untuk meneruskan kesetiaan kepada parti dan saf kepimpinan yang banyak menggerakan parti.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, setiap keputusan yang dilakukan di peringkat pimpinan tertinggi adalah untuk menjaga kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara.

Katanya, sebagai wakil rakyat dan pimpinan parti bahagian beliau juga sentiasa memberikan penjelasan kepada rakyat khususnya ahli akar umbi berkenaan hala tuju parti.

“Kita meneruskan program ataupun politik khidmat bakti diperingkat akar umbi dalam pada masa yang sama kita memberikan penerangan serta membangkitkan semula semangat dan kesetiaan kepada parti.

“Kita juga berada pada tahap kesiapsiagaan. Ahli-ahli parti khususnya dalam kalangan pemimpin dan juga jentera bersiap sedia dalam sebarang apa juga kemungkinan… dan secara simboliknya kita sebagai parti politik akhirnya adalah untuk memenangi pilihan raya.

“Apa juga keputusan yang akan diputuskan di peringkat pimpinan tertinggi parti, kita sebagai pemimpin dan penyokong parti harus akur dan mesti menggalas apa juga tanggungjawab dan mandat yang diberikan oleh parti,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.