Pembentukan Semula UMNO, BN Baharu – Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, berkata akan berlaku beberapa rombakan utama bagi jawatan pegawai-pegawai di Majlis Tertinggi dan jawatan yang difikirkan sesuai untuk diwujudkan atau diberikan penyesuaian bagi perubahan selaras dengan perubahan kepimpinan baru yang berlaku setelah pemilihan UMNO yang berakhir yang telah diputuskan secara rasmi semalam.

Menurut Zahid lagi, selain itu, beliau juga akan melihat apa peranan yang sesuai untuk diberikan kepada kedua-dua calon presiden yang tidak terpilih dalam pemilihan UMNO kali ini.

“Janji saya adalah untuk tidak meminggirkan mereka dan memberikan tanggungjawab bagi mengorak langkah menuju pembaharuan sebagaimana yang telah dilontarkan oleh ketiga-tiga presiden ini.

“Sudah tentunya perkara ini perlu saya rundingkan dengan sahabat-sahabat yang lain dan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi setelah perbincangan dilakukan. Kita juga akan melihat semula jawatan-jawatan pengerus perhubungan di setiap negeri dan tentunya ia akan disesuaikan mengikut situasi politik di setiap negeri dan berdasarkan penerimaan serta potensi kepimpinan baru di peringkat bahagian kali ini.

“Bagi sayap-sayap pula, biarpun saya telah berunding dengan setiap ketua pergerakan, saya juga mengharapkan agar sebarang aktiviti yang akan mereka rancang dan lakukan, tentunya menjurus ke arah untuk memperolehi dokongan dan sokongan rakyat keseluruhannya, terutama untuk memperkukuhkan semula UMNO.

“Ini dilakukan adalah untuk menyelaraskan segala perancangan dan aktiviti supaya kita tidak mempunyai langkah yang berbeza di antara parti induk dan sayap-sayap. Dan perkara ini telah saya perolehi persetujuannya di dalam rundingan bersama ketua-ketua sayap sebelum ini,” ujarnya dalam satu sidang media di Bangunan Dato Onn di sini hari ini.

Katanya lagi, beliau dan barisan kepimpinan baru UMNO juga telah memikirkan tentang beberapa pendekatan untuk melihat kepada masa hadapan UMNO dari segi struktur perlembagaan dan peraturan dalam parti itu sendiri.

“Kita tahu UMNO yang ditubuhkan pada  11 Mei 1946 merupakan UMNO 1.0. Apabila UMNO terbelah dua dalam tahun 1987, yang mengakibatkan UMNO di haramkan pada tahun 1988, kita anggap ianya UMNO 2.0

“Apabila kita kecundang pada 9 Mei yang lalu, tentulah UMNO mesti menuju ke arah pembentukkan piagam dan melihat struktur organisasinya berdasarkan penjenamaan semula dan semangat UMNO 3.0,” jelasnya.

Berhubung Barisan Nasional pula, Zahid menjelaskan bahawa kedudukan BN akan dikaji semula dalam usaha untuk  mewujudkan BN 3.0 sebagai penjenamaan semula setelah mengadakan rundingan dengan parti-parti komponen yang lain seperti MIC dan MCA.

“Dan tentunya penjenamaan BN 3.0 ini akan dilakukan ini harus berlandaskan kepada pelbagaian kaum dan agama, budaya dan bahasa serta latar belakang setiap parti yang akan menyertai gagasan baru ini.

“Kita harus berpijak di bumi yang nyata, bahawa masyarkaat di Malaysia ini berdasarkan sunnahtullah yang menentukan, ia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, budaya dan bahasa yang akan dirangkumkan dalam sebuah gagasan parti gabungan politik yang baru ini dan InsyaAllah, UMNO akan terus menjadi tulang belakang parti ini,” katanya.

Sementara itu, berhubung pemilihan Majlis Tertinggi dan peringkat bahagian UMNO yang berlaku semalam, beliau amat menghormati pilihan yang telah dibuat oleh para perwakilan dalam menentukan barisan kepimpinan baru UMNO dalam pemilihan kali ini.

“Saya ucapkan tahniah kepada yang menang termasuk ahli Majlis Tertinggi, ketua-ketua sayap dan barisan exconya. Kepada cxalon-calon yang tidak terpilih, saya berharap mereka akan terus bersama-sama dengan saya bagi memperkukuhkan parti ini.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada ketua-ketua UMNO bahagian yang menang tanpa bertanding di 74 bahagian UMNO, tahniah juga kepada mereka yang menang dengan bertanding, dan mengucapkan selamat kepada mereka yang tidak menawarkan diri semula sebagai Ketua Bahagian, mahupun yang tidak terpilih semula untuk menjadi ketua bahagian semula.

“Namun saya berharap agar mereka terus bersama-sama dengan kepimpinan UMNO yang baru ini untuk terus memperkasakan UMNO sebagai sebuah parti untuk orang-orang Melayu Melayu dan Islam, dan kita akan terus bekerjasama dengan parti-parti yang bukan hanya berasaskan kaum, tetapi mempunyai lain latar belakang untuk kewujudan gagasan baru ini,” tegasnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.