PH Dan Dap Mirip Bergerak Ke Sistem Republik
KUALA LUMPUR, 26 Jun – UMNO memandang serius tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dilihat sebagai langkah awal Kerajaan Pakatan Harapan (PH), khususnya Dap untuk mencabar kewujudan Akta Hasutan 1948, kata Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.
Sehubungan itu, katanya UMNO menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinetnya memperhalusi tindakan bagi memelihara keharmonian negara.
“Sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir perlu bertegas dalam menangani isu-isu sensitif sebegini agar ia tidak lagi berulang pada masa depan.
“Isu penggunaan bahasa Mandarin mungkin sekadar langkah ‘test market’ pemimpin Dap yang terkenal chauvanis. Tanpa tindakan tegas Perdana Menteri, penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi media dikhuatiri akan turut digunapakai oleh kementerian lain, khususnya yang diterajui pemimpin Dap.
“Namun, Dr Mahathir nampaknya lebih cenderung untuk menerima apa saja desakan Dap, khasnya pemansuhan akta-akta yang membolehkan mereka berbuat apa saja demi kelangsungan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, ini adalah amalan sebuah negara republik yang diimpikan oleh Dap dengan menggunakan model republik sebuah negara jiran.
“Dap makin rakus dengan agendanya, hinggakan sukar dikawal oleh Dr Mahathir sendiri.
“Ini bukan kesalahan kecil. Inilah permulaan kepada hasrat Dap menghapuskan Perkara 152 Perlembagaan, dan melucutkan hak keistimewaan Melayu serta Raja-raja mereka serta Bahasa Melayu.
“Jika mereka sudah berani menidakkan hak Seri Paduka Yang Di-pertuan Agong, mereka juga pasti berani menidakkan hak sesiapa saja, termasuk Perdana Menteri.”
Ini berhubung dengan tindakan Guan Eng pada 25 Jun yang menggunakan bahasa Mandarin dalam siaran media rasmi Kementerian Kewangan.
“Dengan adanya desakan kuat dari anggota kerajaan PH agar akta itu (Akta Hasutan 1948) dihapuskan, Guan Eng dan Dap sengaja mencetuskan provokasi dengan mencabul peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 memperuntukkan agar bahasa Melayu digunakan secara rasmi dalam apa saja urusan pentadbiran negara.
“Tetapi tindak-tanduk Guan Eng, yang disifatkan sebagai ‘silap kecil’, bukanlah sesuatu yang harus dipandang sepi kerana ia adalah tanda-tanda awal Dap ingin menghapuskan hak kaum pribumi dengan menjurus kepada pemerintahan republik.”
Tegasnya, secara tidak langsung, ia akan menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu secara perlahan–lahan. Kekuatan mereka di dalam gabungan PH akan cuba mempengaruhi Tun Dr Mahathir Mohamad agar Perlembagaan dipinda manakala usul menghapuskan undang–undang yang ada, diterima.
“ Ini termasuklah Akta Hasutan, Akta Anti-Berita Palsu, SOSMA dan POTA. Maka akan wujudlah sistem liberal di Malaysia, di mana segala pembohongan, fitnah dan hasutan dibolehkan tanpa tindakan.
“ Di dalam masyarakat majmuk di Malaysia, cara seperti ini akan menjadi bom jangka terhadap perpaduan kaum, dan kemungkinan tercetusnya semula insiden 13 Mei 1969 mungkin tidak dapat dielakkan.”
Bidasnya, segala kesalahan ‘yang disengajakan’ oleh mana-mana anggota Kabinet perlulah diambil tindakan agar ianya tidak berlarutan dan menjadi provokasi terhadap keamanan nasional.
“Hak istana juga sudah mulai dipersoal, malah ada kenyataan terbuka Dap yang cenderung ingin melihat Institusi Diraja dihapuskan sama sekali. Ini mencetuskan kemarahan orang Melayu dan rasa tidak puas hati pihak istana.”
Ujarnya lagi, dengan penyiaran tulisan yang mencuit isu perbelanjaan istana baru-baru ini, sehingga mendorong Yang Dipertuan Agong membatalkan majlis terbuka Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, adalah satu penghinaan.
“Namun, ia tidak langsung dipedulikan oleh Dr Mahathir dan PH. Bagi mereka, Institusi Di-Raja seolah-olah sudah mati atau tidak perlu diambil peduli. – MediaUMNO