Noraini, Dr Asyraf Dan Zahida Trio Baru Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Datuk Dr Asyraf Wajdi Dato Dusuki secara rasmi diumumkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang baru setelah terpilih di dalam pemilihan UMNO bagi sesi 2018-2021 apabila berjaya menewaskan sembilan calon lain di dalam pemilihan kali ini.
Manakala bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pula dimenangi oleh Syahril Suffian Hamdan juga dengan menewaskan sembilan calon lain.
Bagi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia pula, Datuk Noraini Ahmad telah terpilih untuk mengetuai pergerakan sayap tersebut setelah menewaskan dua calon lain yang bertanding.
Manakala Naib ketua Wanita UMNO Malaysia pula dimenangi oleh Norliza Abdul Rahim dengan menewaskan empat calon lain.
Bekas Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Zahida Zarik pula diumumkan sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia dengan menewaskan Norhazrina Binti Mohd Hashim dalam pertandingan dua penjuru.
Jawatan Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia pula disandang oleh Nurul Amal Binti Mohd Fauzi dengan menewaskan empat calon lain yang turut bertanding.
Pengumuman rasmi keputusan pemilihan sayap UMNO itu diumumkan oleh setiausaha kerja UMNO Malaysia, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Bangunan Dato Onn di sini malam ini.
Bagaimanapun, keputusan pemilihan exco sayap-sayap Wanita, Pemuda Dan Puteri hanya akan diumumkan melalui portal rasmi UMNO Malaysia, UMNO Online menjelang tengah malam ini.-MediaUMNO