Tugas Menteri Kewangan Dipersoal, Kerajaan PH Ditegakkan Hanya Untuk Kaburi Kepincangan Kroni

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Setelah memaklumkan kepada rakyat betapa Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menunaikan manifesto pilihan rayanya dalam tempoh 100 hari seperti yang dijanjikan, mereka cuba mengalih perhatian rakyat dengan mendakwa wujudnya banyak lagi kepincangan Barisan Nasional (BN) yang perlu dibongkar.

Selaras dengan itu, Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO mempersoalkan apakah bidang tugas Lim Guan Eng sebenarnya sebagai menteri kewangan?

“Tidakkah beliau boleh membuat sebarang cadangan kepada Kabinet, daripada hanya membongkar kesalahan kerajaan lalu atas arahan perdana menteri?

“Menteri kewangan sepatutnya memikirkan formula yang berkesan untuk meningkatkan semula ekonomi negara dan menarik semula keyakinan pelabur asing,” ujarnya dalan satu kenyataan hari ini.

Katanya, dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hilang RM6 bilion dalam pelaburan ekuiti di Bursa Malaysia sejak PH membentuk kerajaan dua bulan lalu, adakah ia memadai untuk mencari siapa di belakang skandal 1MDB?

“Apa usaha Guan Eng dan penasihatnya di dalam Kementerian Kewangan seperti Tony Pua untuk melonjakkan semula pasaran saham di Bursa Malaysia yang menyaksikan penarikan keluar modal asing yang begitu besar, serta kejatuhan nilai ringgit yang kini melepasi paras RM4 bagi satu dolar Amerika?

“Dan di sisi ekonomi, bolehkah wang kutipan ‘sedekah’ Tabung Harapan digunakan untuk melunaskan hutang kerajaan yang didakwanya melebihi RM1 trilion?

“Nampaknya Guan Eng hanya layak memikul tugas menteri perikanan kerana tidak mempedulikan semua ini,” bidasnya.

Ujarnya, Guan Eng mendapat sokongan padu bapanya, Lim Kit Siang bagi mendedahkan lebih banyak kelemahan kerajaan terdahulu dan sebagai bapa, Kit Siang menyokong apa saja yang dibuat oleh Guan Eng, yang mengaku menerima arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Nampaknya sebagai menteri kewangan, tugas utama Guan Eng adalah menurut segala arahan bosnya bagi mencungkil apa saja kesalahan kerajaan BN, sehingga fungsi sebenar portfolio kewangan tidak dijalankan.

“Malah, Guan Eng bangga dengan pendedahan demi pendedahan yang dibuat, di samping menyuruh seorang demi seorang ketua pegawai eksekutif serta pengarah banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meletak jawatan.

“Kit Siang pula menyokong langkah ini dan bersetuju dengan Tun M di dalam politik dendamnya terhadap BN khasnya UMNO.”

Tegasnya, mereka juga terlalu ingin menyalahkan kerajaan terdahulu dengan mengizinkan siasatan semula ke atas kes Altantuya Shariibuu dan Tan Beng Hock kerana ia memberi platfom politik dan diplomatik yang kuat.

“Mereka tidak langsung memikirkan untuk membuka semula kes-kes lain yang mungkin tidak mendapat pembelaan sewajarnya di mahkamah. Mereka sebenarnya tidak peduli dengannya, dan hanya merujuk kepada kes berprofil tinggi.

“Kenapa Kit Siang tidak menyentuh langsung tuntutan agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai peristiwa Memali, skandal tukaran asing (Forex), dakwaan Dr M mempunyai simpanan RM83 bilion di luar negara, kekayaan tiga anak Dr M dan lain-lain?

“Yang ironiknya, kenapa siasatan kes rasuah ke atas Guan Eng dianggapnya ‘tiada kes’ dan perangkap politik kerajaan BN? Kenapa tidak disiasat sepenuhnya sedangkan kes itu seakan-akan sama dengan kes Dr Khir Toyo?

“Adakah kes itu akan digugurkan setelah mereka menguasai sistem kehakiman dengan pemecatan Ketua Hakim Negara, hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan, di samping menukar bos SPRM dan lain-lain?”

Tegasnya lagi, dan ternyatalah kerajaan PH ini hanya ditegakkan untuk mengaburi rakyat kepada kepincangan mereka, anak-anak mereka dan kroni-kroni sendiri. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.