Pemilihan UMNO Amat Penting, Cadang Tubuh Majlis Presiden
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pemilihan UMNO kali ini amat penting untuk memastikan jatuh bangunnya UMNO dengan semua pihak memainkan peranan dalam mendapatkan sokongan akar umbi, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Abu Hanifah.
Katanya, walaupun seperti biasa proses demokrasi UMNO berjalan dengan lancar dengan pelbagai kepimpinan menawarkan diri dalam pemilihan UMNO kali ini, tapi jika dilihat, kerusi yang jadi perhatian adalah kerusi Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden UMNO, kerana inilah kerusi yang bakal membawa UMNO bangkit daripada PRU14.
“Pelbagai nama telah disuarakan oleh akar umbi bagi memenuhi kerusi-kerusi yang diperkatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hingga ke hari ada enam pemimpin menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Datuk Seri Johari Ghani, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Tajuddin Rahman, manakala kerusi Timbalan Presiden dua pemimpin menawarkan diri iaitu Datuk Seri Mohammed Hassan dan Tan Sri Annuar Musa.
Namun begitu, yang paling menjadi perhatian seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia adalah kerusi Presiden UMNO.
“Seperti mana kita tahu buat masa ini tanggungjawab ini digalas oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malah beliau telah bersedia mengalas amanah sebagai Presiden UMNO dimana beliau telah menawarkan diri sebagai calon Presiden UMNO, tapi dalam masa ini ada juga nama yang hangat diperkatakan iaitu Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) salah seorang pemimpin senior dlm UMNO.
“Boleh dikatakan buat masa ini dua individu ini mendapat sokongan dan dokongan diperingkat akar umbi bagi mengisi kerusi Presiden UMNO.
“Pada pendapat peribadi saya dalam isu Presiden UMNO, kedua-dua mereka amat penting dalam UMNO bagi proses pengukuhan UMNO kerana Datuk Seri Zahid Hamidi mempunyai kekuatan akar umbi UMNO, manakala Ku Li mempunyai kekuatan daripada segi pengalaman dlm UMNO.
“Ini dua perkara yang amat penting bagi UMNO untuk bangkit drpd PRU14,” tegasnya.
Katanya, pada pandangan peribadinya, dikala ini UMNO tidak boleh kehilangan salah seorang daripada mereka demi untuk memastikan kekuatan UMNO di semua peringkat baik dalam parti mahupun rakyat diluar.
“Pada hemat saya, lebih baik ada satu pelan cadangan untuk wujudkan Majlis Penasihat Presiden UMNO dimana Ku Li, Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dan beberapa senior UMNO duduk sebagai Penasihat Presiden.
“Pada pandangan saya buat masa ini kita berikan sokongan pada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO untuk adakan rundingan dan untuk memastikan UMNO tidak terus retak dan berpecah.”
Jelasnya, jika ini berlaku maka beliau yakin UMNO akan terus kukuh dengan adanyanya Majlis Penasihat Presiden UMNO.
“Rakyat akan lihat UMNO boleh bersatu dalam masa parti kita yang telah kalah pada PRU-14 dengan suatu semangat dan iltizam baru untuk perkukuhkan parti UMNO.
“Ini merupakan pandangan peribadi saya demi kepentingan UMNO agar kita terus bergerak sebagai satu keluarga besar UMNO.
“Sama-sama kita doakan yang terbaik buat UMNO insya- Allah,” katanya lagi. – MediaUMNO