Himpunan Ummah Petanda Kemarahan Umat Islam Terhadap Kerajaan – Najib

KLANG, 29 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan himpunan ummah sebagai isyarat kemarahan orang-orang Melayu terhadap segala isu-isu yang berkaitan Islam dan Melayu sejak akhir-akhir ini.

Menurut beliau, kini orang Melayu dan umat Islam merasa resah dengan apa yang berlaku selepas berlakunya perubahan kerajaan pada 9 Mei yang lalu.

“Apa yang sedang berlaku di dalam negara kita dalam soal Islam dan Melayu dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan dan masa depan Islam, kedudukan orang Melayu dan institusi yang berkait rapat dengan orang Melayu di negara ini.

“Jadi dengan sendirinya, orang Melayu sudah mulai sedar akan hal ini dan mereka bangkit dan menunjukkan kemarahan mereka dalam perkembangan politik yang berlaku di negara ini,” jelas Najib dalam kempen membantu calon BN di PRK DUN Sungai Kandis semalam.

Apa yang jelas kata Najib lagi, himpunan tersebut juga merupakan satu isyarat bahawa segala apa yang berlaku ini khususnya dalam soal Islam dan kedudukan Melayu amat tidak disenangi oleh orang Melayu di negara ini.

“Ini satu petanda bahawa sokongan rakyat semakin menurun terhadap Pakatan Harapan (PH), berdasarkan apa yang telah berlaku dalam pemerintahan kerajaan baru sejak 9 Mei lalu,” tegasnya.

Semalam, lebih 2,000 umat Islam secara individu dan ahli-ahli NGO dari seluruh negara membanjiri Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu di sini, pagi ini bagi menyertai Himpunan Kebangkitan Ummah.

Perhimpunan yang bertema ‘Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam’ dimulakan dengan bacaan al-Fatihah dan laungan ‘Allahu Akbar’.

Antara tuntutan mereka ialah membantah pertikaian kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Antara tokoh yang berucap dalam himpunan termasuk bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit