Kerajaan PH Tak Prihatin, Gagal Tumpu Isu Rakyat
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggap kerajaan tidak prihatin setelah mereka dilihat tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada rakyat seperti mana yang berlaku terhadap nelayan di utara Perak ekoran terjejas setelah pembinaan tiga pulau tambahan di selatan Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keadaan yang berlaku itu menyebabkan nelayan terbabit turun padang di depan Parlimen dalam usaha mendapatkan perhatian dan tindakan sewajarnya daripada pihak kerajaan.
“Tiga pulau tambahan di selatan Pulau Pinang… berduyun-duyun nelayan kawasan berkenaan turun ke hadapan Parlimen. Menteri Pertanian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kepala Batas semasa sesi soal jawab berkata ada 4,000 nelayan yang terjejas. Saya bangun tidak diberikan ruang pulak sedangkan saya katakan 10 ribu nelayan yang terlibat.
“Yang menteri sebut 4,000 selatan Pulau Pinang…. Kalau sayalah kena sebutlah 6,000 lagi nelayan utara Perak. Kenapa utara Perak terlibat dan kenapa selatan Pulau Pinang terlibat. Apabila ada tiga pulau baru ianya akan mengganggu ekosistem laut itu maka nelayan pun susah untuk mencari kehidupan.
“Di mana pasir itu disedut… ianya disedut daripada utara Perak. Akibat daripada itulah 10,000 nelayan terjejas, tetapi mereka tidak peduli pun dan kerajaan ini amat tidak prihatin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Diskusi dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, pada Selasa.
Pada masa yang sama Ahmad turut menempelak kerajaan hari ini yang kononnya mahu mengurangkan hutang negara tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
“Kata nak kurangkan hutang namun ianya adalah temberang semata-mata. Sedangkan hutang kerajaan terdahulu RM686 bilion kalau ianya dibahagi 61 tahun memerintah, RM11 bilion setahun sedangkan kerajaan sekarang ini daripada RM686 dah jadi RM800 bilion.
“Ini bermaksud RM114 bilion tambahan hutang dalam masa setahun dua bulan. Purata kita cuma RM11 bilion setahun namun mereka pada tahun pertama sudah menjangkau RM114 bilion hutang. Seronok mengata orang… ini berasaskan fakta,” tambahnya.
Tambahnya lagi, pendapatan negara yang berkurang adalah kerana penghapusan GST namun mereka sering menyalahkan kerajaan terdahulu berhutang begitu banyak.
“Dalam seluruh Asean ini yang tidak melaksanakan GST hanyalah Brunai … kita tahu jumlah penduduknya dan mereka ada sumber kewangan yang kukuh. Satu lagi yang tidak laksanakan ialah Myanmar.
“Yang lain semuanya melaksanakan termasuklah Jepun, Korea Selatan tetapi kenapa kita tidak laksanakan dan akhirnya kita sendiri merana untuk mencari wang.
“Apabila wang tidak mencukupi mereka tidak salahkan tidak ada GST , yang disalahkan kerajaan terdahulu berhutang banyak,” bidasnya lagi. – MediaUMNO