Mohd Jafni Tegaskan Kesungguhan Kerajaan Tangani ‘Projek Sakit’, Terus Bela Nasib Rakyat

MERSING, 17 Okt – Kesungguhan Kerajaan Negeri Johor dalam menyelesaikan isu ‘projek sakit’ atau terbengkalai terus mendapat perhatian dengan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang turun padang mengambil inisiatif agar masalah tersebut dirungkai.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, menekankan bahawa setiap masalah perlu diselesaikan dengan cara terbaik dan memberi kesan positif bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

“Usaha ini adalah penting bagi menampakkan komitmen kepada pihak luar, khususnya dalam memastikan kesinambungan keyakinan pelabur terhadap Kerajaan Negeri Johor.

“Kesungguhan dalam menyelesaikan projek sakit atau terbengkalai bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi kita akan bekerja sebagai satu pasukan yang komited untuk membantu rakyat. Kita akan memastikan bahawa setiap langkah diambil demi masa depan yang lebih baik bagi semua,” katanya kepada UMNO Online

Terdahulu beliau telah melakukan lawatan keempatnya ke Projek Koperasi Nelayan Mersing di Taman Bayu Impian untuk menilai kemajuan pelaksanaan gerak kerja.

Ujarnya, projek yang telah berusia 17 tahun ini kini mencapai 90 peratus tahap siap, namun terdapat isu penting berkaitan sistem perpaipan yang perlu diselesaikan untuk memenuhi kelulusan CCC (Certificate of Completion and Compliance).

“Masalah kebocoran paip yang telah dipasang semakin meruncing, menyebabkan pemaju terpaksa mengeluarkan kos untuk baikpulih yang masih belum selesai,” katanya.

Dalam hal ini, beliau mencadangkan penukaran keseluruhan sistem paip baru dengan kos anggaran RM300,000 dan meminta kerjasama kontraktor untuk memastikan 23 unit rumah yang telah mempunyai pembeli dibaiki dengan sempurna, termasuk pemasangan semula nombor lot rumah tersebut.

“Dalam usaha untuk mencapai penyelesaian, saya telah merancang perbincangan bersama Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Mersing serta Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor.

“Pertemuan ini dijadualkan berlangsung pada awal November dan melibatkan wakil penduduk, pemaju dan kontraktor.

“Ini diharapkan dapat mencipta platform bagi semua pihak untuk menyuarakan kebimbangan dan mencari penyelesaian yang konstruktif.”

Jelasnya, ketika sesi lawatan, beberapa pembeli rumah meluahkan keinginan untuk segera menduduki kediaman mereka.

“Pembeli rumah merayu untuk menduduki rumah tersebut tetapi saya nyatakan tidak boleh kerana menduduki rumah tanpa CCC akan menyebabkan penduduk tidak boleh membuat tuntutan ‘defect liability period’ (DLP). Hal ini penting untuk melindungi kepentingan semua pihak dan memastikan standard keselamatan yang tinggi.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri di bawah urus tadbir Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Onn Hafiz Ghazi akan berusaha semaksimum mungkin dengan pasukan Kerajaan Negeri bagi memastikan urusan ini diselesaikan agar nasib rakyat yang telah menanggung kos berganda kerana membayar duit sewa rumah dan ansuran bulanan rumah yang dibeli sejak lapan tahun lalu terbela dan boleh segera mendiami rumah mereka.”

Mohd Jafni turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan projek yang diselesaikan sehingga mendapat CCC dalam tempoh tiga tahun pentadbiran ialah 12 projek yang melibatkan nilaian lebih RM400 juta, sementara jumlah nilaian keseluruhan projek selesai dan sasaran sehingga penghujung tahun ini ialah 14 projek yang melibatkan nilaian berjumlah lebih RM600 juta.

Tegasnya lagi, kemajuan dan pembangunan di peringkat negeri akan terus dilaksanakan, dengan hasrat untuk membantu rakyat agar nasib mereka dapat terbela dan menikmati kehidupan yang lebih stabil sebagaimana agenda Maju Johor 2030. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.