Prestasi BN Tanggungjawab Bersama, Tumpu Pada PRK – Dr Noraini
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Wanita UMNO Malaysia berpandangan prestasi Barisan Nasional (BN) di dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang telah berlangsung baru-baru ini adalah tangggungjawab bersama seluruh kepimpinan.
Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata ini bukanlah masa untuk menyalahkan mana-mana pihak malah seluruh ahli parti perlu menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
“Wanita UMNO Malaysia meminta kepada seluruh ahli dan kepimpinan untuk memberi tumpuan kepada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak berapa lama lagi,” katanya.
Katanya lagi Wanita UMNO Malaysia juga akan terus bersama dengan barisan kepimpinan parti mencari jalan yang terbaik, merangka strategi untuk memperkukuhkan parti dan menarik kembali sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.
“Kerajaan Perpaduan ini perlu diperkasakan demi kestabilan negara dan kemakmuran rakyat. Agenda perpaduan ini sangat besar untuk kita semua bersama-sama berganding bahu membangunkan negara ini,” tambahnya.- UMNO Online