Shamsul Anuar Lahirkan Kebimbangan Hala Tuju Pendidikan Kerajaan PH
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyatakan kekhuatiran dan kerisauannya terhadap hala tuju terkini dasar pendidikan negara yang dilihat tidak menumpukan kepada perkara-perkara sewajarnya khususnya dalam usaha meningkatkan persaingan secara global.
Perkara berkenaan disentuh oleh beliau ketika membahaskan Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), pada Khamis yang menggesa agar pihak kerajaan melaksanakan polisi dan dasar sebaik mungkin dan bukannya terkebelakang.
“Saya risau dengan hala tuju pendidikan negara ini. Tidak nampak jelas ke mana Simpang Renggang nak bawa. Nak ke mana. Yang ada hari ini kasut hitam…saya bimbang (Shah Alam)… saya di Lenggong ini sepanjang-panjang Sungai Perak sama dengan Grik… saya takut nanti latihan renang dibuat di Sungai Perak… bukan ada kolam renang pun di Lenggong.
“Sebab dengar-dengar cerita menteri nak buat latihan renang ini. Saya tidak tahulah mungkin di Pokok Sena banyak kolam-kolam renang di sekolah dia, tetapi kenapa tumpukan kepada perkara-perkara ini.
“Sebab itu jangan tengok isu kasut, jangan tengok isu stokin warna apa…saya bimbang nanti kejap lagi kasut warna hitam stokin warna merah…pelik. Jadi fokus kepada perkara-perkara yang besar. Kita bercakap soal industri revolusi 4.0. Jangan bercakap isu kecil,” katanya.
Katanya lagi dasar dan polisi yang dilaksanakan dan diusahakan pada zaman kerajaan sebelum ini bukan sahaja untuk melahirkan anak-anak yang berkeupayaan dalam persaingan di dalam negara malah di luar negara.
“Jadi soal-soal stokin dan sebagainya serah kepada pengetua sekolah saja. Menteri cakap bab lain. Bab yang lebih besar. Sebab itu dalam kita membentuk minda anak-anak kita, dalam menghadapi persaingan yang semakin mencabar, kerajaan BN dahulu bukan nak melahirkan anak-anak yang berkeupayaan bersaing dalam lingkungan di negara ini sahaja, kita mahu melahirkan anak-anak kita yang berkeupayaan di peringkat yang lebih besar.
“Ini supaya kalau anak-anak kita menjadi engineer dia mampu menjadi engineer di negara luar. Itu standard yang kita nak lakukan. Jangan kembali ke belakang. Nampaknya menteri hari ini kembali ke belakang.
“Ini menggusarkan ibu bapa dan guru-guru. Sebab saya ingat lagi…YB menteri ketika awal dilantik tidak mahu ubah polisi mahu pun dasar-dasar kerana nanti bimbang akan menyusahkan guru, tetapi nampaknya hari ini daripada kasut sampai ke atas semuanya lebih memeningkan warga pendidikan pada hari ini,” katanya lagi. – MediaUMNO