Kempen Perangi LGBT Bukan Untuk Memusuhi Sesiapa – Mufti Pahang
KUANTAN, 19 Ogos – Kempen kesedaran mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak seharusnya dilihat sebagai langkah untuk bermusuh dengan mana-mana pihak.
Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman berkata pelbagai kempen yang kini giat dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) hanyalah untuk mengingatkan tentang kegiatan LGBT yang haram hukumnya dalam Islam dan dilaknat Allah.
“Semua kempen ini bertujuan untuk meminta golongan terlibat supaya menghentikan semua tuntutan kerana ia salah di sisi agama dan dilaknat Allah.
“Kita bukan mahu bermusuh dengan sesiapa tetapi mahu kegiatan ini dihentikan kerana ia dilarang oleh Allah dan bimbang azab serta bala seperti yang berlaku pada zaman kaum Nabi Luth dahulu seperti yg diceritakan dalam al-Quran,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan kempen kesedaran bahaya LGBT anjuran Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturrahim Pahang (Ukhwah) di Dataran Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.
Turut hadir dalam kempen tersebut Kadi Daerah Kuantan Abdul Zaki Md Zain dan Presiden Ukhwah Zulkefkly Senek.
Abdul Rahman berkata kempen anjuran Ukhwah ini dilihat sebagai pendekaran yang baik untuk mendidik dan memberi penerangan kepada orang ramai mengenai LGBT.
“Jabatan Mufti Pahang menyambut baik usaha yang dilakukan Ukhwah dan badan NGO kerana isu ini dilihat berbahaya kepada pembangunan moral manusia.
“Saya lihat pertemuan hari ini disambut baik oleh orang ramai termasuklah mereka yang bukan beragama Islam dan ini menunjukkan petanda positif dalam mengelak gejala ini daripada terus berleluasa dalam maysrakat,” katanya.
Jabatan Mufti Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana NGO yang ingin menjalankan kempen-kempen seumpama ini pada masa akan datang.
“Selain itu, kita juga merancang untuk menyediakan satu tempat khusus bagi memberi penerangan dan juga khidmat nasihat serta kaunseling mengenai LGBT kepada sesiapa sahaja yang ingin merungkai persoalan mahupun kekeliruan,” katanya.