MARA Dan PETRONAS Lancar PUMP MotoExpert, Bantu Bumiputera Buka Bengkel Motosikal Profesional
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkasa usahawan Bumiputera apabila melancarkan Program PUMP MotoExpert MARA-PETRONAS hasil kerjasama strategik bersama PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM).
Majlis pelancaran yang berlangsung di Royale Chulan Damansara, semalam disempurnakan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang turut menyatakan komitmen MARA dalam membantu melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam bidang penyelenggaraan dan baik pulih motosikal.
Ujar Dr Asyraf, melalui program ini, usahawan terpilih ditawarkan pembiayaan sehingga RM300,000 lengkap dengan latihan teknikal berstruktur, penjenamaan semula premis, sokongan rantaian bekalan alat ganti secara terus, serta sistem operasi bengkel yang moden dan efisien.
Lebih menarik katanya, usahawan MotoExpert akan menerima bekalan minyak pelincir jenama PETRONAS Sprinta secara langsung daripada PLMM tanpa orang tengah, membolehkan mereka menikmati margin keuntungan lebih tinggi dan meningkatkan daya saing dalam pasaran tempatan.
“Pada hari ini sahaja, seramai 96 usahawan hadir dalam sesi taklimat dan temuduga, dan hampir separuh daripadanya adalah lepasan institusi TVET MARA seperti GiatMARA, IKM dan KKTM. Ini membuktikan ekosistem pendidikan TVET MARA bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran, malah juga usahawan yang berpotensi mencipta peluang pekerjaan,” jelasnya.
Ujar beliau, untuk fasa pertama, program ini menyasarkan sekurang-kurangnya 30 bengkel MotoExpert akan beroperasi tahun ini, sebelum diperluas ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“MARA komited bukan sekadar melatih tenaga mahir, tetapi membimbing mereka untuk berani menceburi dunia perniagaan secara tersusun dan mampan.
“Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan kepada pihak PETRONAS atas komitmen besar mereka untuk bersama-sama MARA memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan Bumiputera, sekaligus memperkasa ekosistem industri motosikal dalam negara kita,” katanya lagi. – UMNO Online