Orkestra: Pendidikan Holistik MRSM FELDA Lahirkan Anak Bangsa Bertaraf Dunia – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Pendidikan holistik dan pembangunan insaniah yang diterapkan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) FELDA mampu melahirkan anak bangsa bertaraf dunia dalam pelbagai bidang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau berpeluang untuk menyaksikan rakaman Konsert Desaku Mendunia anjuran FELDA yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur pada Rabu.
“Malam tadi, saya berpeluang menyaksikan rakaman Konsert Desaku Mendunia anjuran FELDA yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur.
“Alunan muzik yang mengiringi sepanjang konsert pada malam tadi dipersembahkan oleh 59 anak muda dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak menerusi MAREMAF Wind Orchestra (MAWO). Persembahan hebat mereka benar-benar membuktikan bahawa bakat seni anak FELDA mampu menyaingi kelas antarabangsa.
“Lebih membanggakan, kumpulan MAWO ini akan mewakili negara dalam satu pertandingan orkestra berprestij di Prague, Republik Czech, bersama peserta dari sebelas negara lain,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Presiden UMNO turut melancarkan Pra-Pelancaran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) yang menjadi simbol sinergi antara agensi kerajaan untuk memperkasa ekonomi luar bandar dan melonjakkan potensi usahawan desa sebagai pemacu kemajuan negara pada majlis sama.
“Ini merupakan satu manifestasi jelas bahawa pendidikan holistik dan pembangunan insaniah yang diterapkan di MRSM FELDA mampu melahirkan anak bangsa bertaraf dunia baik dalam bidang akademik, keusahawanan dan kini juga seni muzik.
“Dalam majlis yang sama, saya turut melancarkan Pra-Pelancaran MK3D, yang akan berlangsung di MITEC tidak lama lagi. MK3D adalah satu simbol sinergi antara agensi kerajaan untuk memperkasa ekonomi luar bandar dan melonjakkan potensi usahawan desa sebagai pemacu kemajuan negara.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga MAWO, guru-guru, ibu bapa serta barisan pentadbiran MRSM Ulul Albab FELDA Trolak. Teruskan berlatih, kekalkan disiplin, dan bawalah semangat Malaysia ke Prague. Insya-Allah, doa kami semua mengiringi langkah kalian. Selamat maju jaya. Saksikan rakaman konsert ini yang akan disiarkan pada 31 Mei di TV2 jam 9.00 malam,” katanya lagi. – UMNO Online