Malaysia, UAE Kekalkan Komitmen Perkukuh Hubungan Dua Hala
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengulangi komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam perbincangan di luar Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN- Teluk (GCC) ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Perkara itu disentuh dalam pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Majlis Tertinggi UAE, dan Pemerintah Ras Al Khaimah Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi.
Sementara itu, Kerajaan Ras Al Khaimah dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan bahawa pertemuan itu membincangkan hubungan persahabatan dan kerjasama lama terjalin antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia, serta meneroka peluang untuk memperluas kerjasama merentasi pelbagai sektor.
“Kedua-dua pemimpin memuji penyelarasan dan perkongsian kukuh antara UAE dan Malaysia di peringkat antarabangsa, serta menekankan kepentingan meneruskan dialog dan penglibatan bagi memajukan matlamat pembangunan dan kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Sheikh Saud memuji penganjuran cemerlang sidang kemuncak oleh Malaysia serta peranan negara ini dalam menggalakkan kerjasama lebih erat dan integrasi antara negara- negara GCC dan ASEAN.
Malaysia dan UAE menikmati hubungan dua hala yang kukuh sejak awal 1970-an, yang dicirikan oleh kerjasama penting dalam bidang diplomasi perdagangan dan pelaburan.
Perbincangan mereka tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama merentasi pelbagai sektor, termasuk isu perdagangan, pelaburan dan geopolitik yang menjadi perhatian bersama.
Malaysia dan UAE menikmati hubungan dua hala yang teguh sejak awal 1970-an, menerusi kerjasama penting dalam diplomasi, perdagangan dan pelaburan.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi dengan mengukuhkan kerjasama antara wilayah dan membentuk barisan bersatu menentang cabaran yang ditimbulkan oleh ketidaktentuan ekonomi global.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan, dan ini merupakan kali kelima negara menjadi Pengerusi ASEAN, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – BERNAMA