Malaysia Terus Mengukuhkan Diplomasi Ekonomi Serantau – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam arena diplomasi ekonomi serantau menerusi penyertaan aktif dalam ASEAN-GCC-China Economic Forum, sebuah sidang kemuncak bersejarah yang menghimpunkan pemimpin dan tokoh ekonomi dari ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadiri majlis makan malam rasmi sempena forum tersebut berkata, kehadiran Malaysia mencerminkan peranan strategik negara sebagai peneraju dalam membentuk kerjasama rentas benua yang inklusif, berpandangan jauh dan mampan, selaras dengan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Forum ini turut memperlihatkan keyakinan tinggi negara-negara luar terhadap kestabilan dasar serta kepimpinan Malaysia di pentas serantau,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, pelbagai agenda utama telah dibincangkan dalam suasana penuh muafakat dan diplomasi, termasuk pelaburan, teknologi, keselamatan makanan dan pembangunan mampan. Perbincangan ini menjurus kepada pembentukan sebuah rantau yang saling melengkapi dan sejahtera.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa Malaysia tampil sebagai jambatan penting yang menghubungkan kekuatan ekonomi Timur Tengah dan Asia Timur dengan pasaran dinamik ASEAN.

“Saya yakin segala yang dirintis dan disepakati dalam forum ini akan membuka laluan kepada penciptaan peluang ekonomi baharu, pemindahan teknologi, serta pembangunan berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi kepada seluruh rantau,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79