‘Trade War’, Tarif Amerika Syarikat: Kerajaan Johor Ambil Langkah Tertentu – Hairi
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Kerajaan Negeri Johor sememangnya ambil maklum dan mengambil tindakan awal bagi mendepani situasi semasa akibat ketidaktentuan perdagangan global akibat ‘trade war’ dan juga pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata kerajaan negeri menerusi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) dan agensi keusahawanan di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) telah melaksanakan beberapa langkah selain beberapa perancangan lain.
“Antara perancangan yang telah dilaksanakan merangkumi beberapa pendekatan. Pertamanya promosi produk usahawan Johor. Inisiatif ini dilaksanakan oleh PUJB yang bertujuan membantu para usahawan di negeri ini mempromosikan produk keluaran mereka ke pasaran yang lebih meluas.
“Produk-produk ini akan diperkenalkan dan dijadikan sebagai bahan utama di dalam cenderahati untuk majlis rasmi kerajaan atau program melibatkan aktiviti promosi produk-produk dari negeri Johor di peringkat persekutuan mahupun antarabangsa.
“Pelaksanaan inisiatif ini juga dilihat dapat membantu meningkatkan daya saing usahawan agar kembali aktif menjalankan operasi perniagaan dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan menerusi penyertaan usahawan bimbingan PUJB di ekspo luar negara seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Malaysia Fest di Singapura,” katanya pada Sidang DUN Johor di sini, semalam.
Hairi seterusnya menambah langkah lain adalah menerusi SME Go Global yang merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia menerusi SME Corp Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengantarabangsaan PKS tempatan, terutama syarikat-syarikat dalam industri berpertumbuhan tinggi, bagi membantu mereka berkembang ke pasaran global.
Program berkenaan katanya lagi disasarkan kepada syarikat yang bersedia untuk mengeksport dan juga syarikat pengeksport sedia ada yang berpotensi untuk meneroka pasaran baharu.
“Inisiatif yang disediakan di bawah program ini adalah dalam bentuk bantuan kewangan untuk membiayai aktiviti pengantarabangsaan. Selain itu, SME Corp Malaysia juga menyediakan peluang pasaran produk ke pasaraya-pasaraya menerusi Program Padanan Perniagaan.
“Seterusnya Gate To Global (GTG) yang dilaksanakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sejak 2017 terbukti berjaya membantu usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran global dengan cemerlang.
“Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan keupayaan usahawan dalam aspek pembangunan produk, pengukuhan penjenamaan dan pemasaran strategik yang dapat membawa produk tempatan ke pasaran dunia. Usaha GTG termasuklah membawa usahawan di bawah MARA untuk menyertai pelbagai acara antarabangsa seperti MIHAS yang dianjurkan setiap tahun bermula 2004,” tambahnya.
Tambah beliau lagi Program GTG dijangka dapat membantu untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat Bumiputera dalam menembusi pasaran antarabangsa dengan bantuan pembangunan produk dan penjenamaan daripada MARA, semua usahawan yang terbabit dengan program GTG itu sudah melalui fasa latihan dan bimbingan yang mempersiapkan mereka dengan status ‘export ready’.
“Selain dinyatakan di atas, usahawan juga akan diberikan bantuan dari segi pengembangan akses pasaran antarabangsa daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerusi MATRADE Digital Learning yang merupakan website dan carian bagi memberi panduan dan maklumat untuk menembusi pasaran luar negara,” ujarnya.
Terdahulu ADUN Panti, Hahasrin Hashim mengemukakan soalan pada pertanyaan lisan apakah dasar atau inisiatif baru yang akan diperkenalkan bagi memperkasa sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi ketidaktentuan perdagangan global akibat ‘trade war’. – UMNO Online