Sambutan Hari UMNO Ke-79 Bawa Kelainan, Diadakan Serentak Graduasi Sekolah Patriotik
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 pada tahun ini menyaksikan kelainan tersendiri apabila buat julung kalinya diadakan serentak dengan Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO (SPU).
Berlangsung pada Ahad ini, ia dimulakan pada 10.25 pagi dengan perarakan masuk graduan SPU ke Dewan Tun Hussien Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara tahlil khas buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah meninggal dunia pada 14 April lalu, bagi mengenang jasa bekas Perdana Menteri kelima dan bekas Presiden UMNO itu terhadap negara serta parti di samping para kempimpinan yang telah mendahului.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seterusnya dijadual mengambil tempat bagi menyampaikan amanat, khususnya melibatkan hala tuju parti sempena Hari UMNO ke-79 untuk dihayati bersama.
Penyerahan sijil konvonsyen kepada graduan SPU kemudiannya dilakukan bagi memberikan suntikan semangat kepada graduan yang telah memulakan kursus mereka 12 minggu iaitu sejak Januari lalu.
Terdahulu, UMNO melakar sejarahnya yang tersendiri melalui program ini dengan penglibatan 50 anak muda sekaligus mencerminkan komitmen UMNO dalam membentuk kepimpinan muda sebagai pelapis.
Kumpulan pertama SPU ini terdiri daripada anak muda berusia antara 16 hingga 30 tahun, merangkumi lelaki dan perempuan, pelbagai latar belakang dari seluruh negara.
Untuk rekod ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei adalah manifestasi ahli parti menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.
Sambutan ini juga antara lain sebagai platform memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO. – UMNO Online