Sekretariat Akan Terus Perjuangkan Hak Pekerja, Ingin Lihat SEGiM ‘Depan Mata’
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pengerusi Sekretariat GiG Ekonomi UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata pihaknya akan terus memperjuangkan hak-hak pekerja terutama menjayakan matlamat sebelum ini antara lain menjayakan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).
Bagi beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hak-hak pekerja di negara ini menjadi tumpuan utama sekretariat berkenaan agar hak pekerja dinikmati sebaiknya.
“Sempena hari pekerja yang disambut semalam, belum terlambat untuk saya selaku Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja & Gig Ekonomi UMNO Malaysia mengucapkan Selamat Hari Pekerja untuk semua.
“Apa yang utama bagi kami adalah untuk melihat pekerja di negara ini mendapat pembelaan dan hak yang sewajarnya terutama perjuangan sebelum ini iaitu melihat SEGiM ditubuhkan menjadi realiti.
“Kita melihat sektor Gig ekonomi antara yang ramai terlibat dan tentunya usaha menjaga kepentingan serta kebajikan pengendali di dalam sektor berkenaan di seluruh negara perlu dilaksanakan sebaiknya,” katanya.
Sebelum ini beliau menerusi Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja & Gig Ekonomi UMNO Malaysia berjuang untuk menubuhkan SEGiM dalam usaha memastikan kebajikan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan terjaga.
Sharkar seterusnya bersyukur usaha ke arah itu menampakkan hasil yang positif serta pihaknya penuh yakin dan percaya hasrat tersebut akan menjadi realiti.
Apa yang penting katanya pelbagai usaha dan ikhtiar dilaksanakan agar apa yang diperjuangkan selama ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita mengambil pelbagai pendekatan. Perjumpaan demi perjumpaan dengan mereka yang terlibat serta pelbagai kumpulan yang memperjuangkan nasib pekerja bukan sahaja dalam sektor Gig Ekonomi tetapi juga sektor lain.
“Insya-Allah semoga perjuangan dan usaha kita dirahmati dan sempena hari pekerja yang disambut saban tahun pada 1 Mei, ini akan menjadi iltizam kepada sekretariat untuk terus bergerak dan memperjuangkan apa yang sejawarnya,” tambahnya.
Memetik laporan, kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bagi meningkatkan perlindungan dan menyelesaikan isu kebajikan membabitkan golongan berkenaan pada sesi Parlimen akan datang.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, draf RUU sudah disiapkan selepas sesi libat urus diadakan dengan lebih 3,000 golongan pekerja terbabit.
“Jangan halang kerajaan bela nasib pekerja gig, berilah sokongan kerajaan bentangkan RUU Pekerja Gig pada sidang (Parlimen) akan datang,” katanya berucap sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, semalam.
Majlis sambutan itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online