Jangan Terperangkap Naratif Songsang, Utamakan Perpaduan Sabah – Dr Salleh Said

KOTA KINABALU, 29 April – Bendahari UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan semua pihak supaya berpijak di bumi nyata dan tidak terperangkap dalam naratif songsang yang boleh menggugat perpaduan di Sabah.

Beliau berkata, terdapat usaha pihak tertentu yang cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu dengan dakwaan kononnya PH boleh diterima manakala BN tidak.

“Ini satu naratif songsang yang tidak logik. BN dan PH merupakan tunjang kerajaan Madani di peringkat pusat. Mustahil kedua-duanya dipisahkan kerana mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu kestabilan, pembangunan, dan masa depan rakyat,” katanya.

Salleh menegaskan bahawa kestabilan Sabah tidak akan datang daripada politik perpecahan, sebaliknya melalui kerjasama kukuh antara BN, PH, dan parti-parti tempatan.

“Yang penting sekarang ialah kestabilan dan masa depan rakyat, bukan memilih untuk berpecah. Kestabilan bukan datang dari memilih sebelah, tetapi dari berpadu atas matlamat bersama,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa model politik Sarawak tidak sesuai diterapkan secara terus di Sabah kerana keadaan politik dan sosio-demografinya berbeza.
“Kita perlu memahami realiti di Sabah. Jika semua parti nasional mahu ditolak seperti di Sarawak, maka BN dan PH juga akan tertolak. Tetapi itu bukan keperluan kita di sini. Yang penting adalah memperkukuh kerjasama untuk kestabilan,” jelas beliau.

Salleh menggesa semua pihak supaya lebih rasional dalam berpolitik dan meletakkan kepentingan rakyat melebihi segala agenda sempit yang hanya akan membawa kepada perpecahan.

Terdahulu beliau turut mengulas berkaitan kemenanagn BN di PRK Ayer Kuning pada Sabtu lalu yang boleh dijadikan bukti kukuh bahawa kerjasama politik yang teratur mampu mengembalikan keyakinan rakyat serta menjamin kemenangan besar.

Menurutnya, pendekatan gabungan tanpa pertandingan sesama sendiri seperti yang ditunjukkan di Ayer Kuning berjaya mengukuhkan persepsi rakyat terhadap kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran yang bertanggungjawab.

“Model ini wajar dijadikan asas dalam membentuk kerjasama strategik menjelang PRN Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan BN-PH Plus yang merangkumi BN, PH serta parti-parti tempatan Sabah perlu diperkukuh dengan strategi yang jelas.

“Strategi yang perlu diperkukuhkan di Sabah ialah agihan kerusi berdasarkan prinsip hormat-menghormati dan kekuatan akar umbi serta penyelarasan naratif politik yang menekankan kestabilan, perpaduan rakyat, dan agenda pembangunan mampan.”

Salleh turut menekankan bahawa rakyat Sabah menginginkan kestabilan politik yang sejati.

“Rakyat Sabah mendambakan kestabilan politik yang sejati, bukan ketidakpastian atau pertelingkahan kuasa yang boleh mengalihkan fokus daripada isu-isu rakyat.

“Model kerjasama Ayer Kuning membuktikan bahawa apabila parti-parti utama bersatu atas dasar muafakat dan tanggungjawab bersama, ia mencipta gelombang kepercayaan yang kukuh dalam kalangan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit