Rumah Terbuka Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Meriah Di Putrajaya, Kukuhkan Ukhuwah Aidilfitri
PUTRAJAYA, 28 April – Suasana Syawal dirai yang penuh keberkatan sebagaimana Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri yang berlangsung meriah di Perkarangan Kompleks Futsal, Presint 18, Putrajaya malam tadi.
Majlis yang diadakan bersama dengan Pemuda UMNO Putrajaya serta keluarga besar UMNO ini berlangsung dari jam 8.00 hingga 11.00 malam, diserikan dengan kehadiran ramai ahli dan penyokong parti dari sekitar Wilayah Persekutuan dan kawasan setempat.
Majlis ini bukan sahaja menjadi peluang untuk menikmati pelbagai juadah raya yang enak, malah menjadi medan mengeratkan lagi tali silaturahim antara ahli-ahli UMNO, khususnya golongan muda yang menjadi tunjang kekuatan parti.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah ketua-ketua UMNO bahagian dari seluruh Wilayah Persekutuan, selain barisan kepimpinan parti dari pelbagai peringkat, termasuk sayap-sayap parti yang lain. Kehadiran para pemimpin ini mencerminkan komitmen dan kesatuan dalam kalangan keluarga besar UMNO yang sentiasa teguh bersama, khususnya dalam menyambut hari kemenangan umat Islam ini.
Dalam suasana penuh mesra dan harmoni, para hadirin mengambil kesempatan untuk saling bermaaf-maafan, bergambar kenangan dan berkongsi kegembiraan menyambut Syawal bersama.
Suasana malam itu begitu ceria dengan semangat kekeluargaan yang jelas terasa sebagaimana Aidilfitri dirai sebagai hari kemenangan yang penuh rasa syukur dan kasih sayang, menyatukan semua lapisan warga UMNO dalam satu majlis yang penuh makna.
Dari pemimpin pemuda hinggalah ke akar umbi, semua hadir sebagai satu keluarga besar yang saling menyokong dan memperkukuh perpaduan.
Sememangnya, majlis seumpama tidak asing bagi UMNO malah menjadi tradisi tahunan yang memperkukuh ukhuwah, menyuburkan semangat perpaduan dan mengekalkan jati diri perjuangan UMNO.
Dengan semangat Aidilfitri sebagai pemangkin, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menunjukkan komitmen mereka untuk terus memperkukuh kebersamaan, memperjuangkan kepentingan rakyat dan memartabatkan perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air. – UMNO Online