Lencana Jalur Gemilang Bukan Sekadar Hiasan, Lambang Jati Diri Kebangsaan – Hisamudin

PUTRAJAYA, 21 April – Pemakaian lencana kecil Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid sekolah bukan sekadar hiasan di dada, tetapi membawa makna yang jauh lebih besar malah ia adalah lambang jati diri kebangsaan yang perlu dihayati oleh setiap warganegara.

Demikian ditegaskan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Hisamudin Yahaya ketika merasmikan Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 18(1) hari ini.

“Lencana kecil ini membawa erti kasih, kesetiaan dan tanggungjawab kepada tanah air. Ia menyemarakkan semangat kenegaraan dan menyemai nilai-nilai murni seperti akhlak, ilmu, empati dan amanah dalam diri setiap murid,” ujar beliau yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.

Menurut Hisamudin, pemakaian lencana ini adalah cerminan kepada gagasan Malaysia Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, kemajuan dan kesejahteraan.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap murid adalah duta kecil negara dan pemakaian lencana tersebut harus disertai rasa bangga serta amanah.

“Setiap jalur dan warna pada Jalur Gemilang membawa mesej mendalam tentang perpaduan, keharmonian, keberanian dan kedaulatan. Maka sewajarnya, rakyat Malaysia khususnya generasi muda menjiwai nilai-nilai ini,” katanya lagi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengetua SMK Presint 18(1), Asmara Diana, Naib Pengerusi PIBG, Datuk Safian dan wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nariza.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan berkuat kuasa 21 April secara berperingkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit