PRK Ayer Kuning: Tiada Boikot, Pemuda UMNO Tapah Aktif Berkempen
TAPAH, 20 April – Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan dakwaan kononnya Pemuda UMNO Bahagian Tapah memboikot kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan hanya mainan politik pihak lawan yang kehabisan modal menjelang hari pengundian pada 26 April
ini.
Dr Muhamad Akmal berkata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah Fahmi Ahmad Jakhisi berada di barisan hadapan bersama jentera, menganjurkan pelbagai program bersama anak muda, majlis keagamaan dan program sentuhan komuniti sejak awal kempen lagi.
“Dari hari pertama kempen, saya sendiri lihat Pemuda Tapah bekerja keras siang dan malam. Tiada langsung unsur boikot seperti yang cuba dimainkan,” katanya ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jeram Mengkuang di sini hari ini.
Beliau optimis anak muda di Ayer Kuning menyokong BN berikutan sambutan memberangsangkan terhadap program- program yang dianjurkan sejak awal kempen.
Dr Muhamad Akmal berkata gerak kerja Pemuda UMNO menggunakan
strategi komunikasi berhemah tanpa serangan peribadi atau retorik politik melampau ketika berkempen
yang disenangi generasi muda.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia). – BERNAMA