“Parti Bukan Agama, Tetapi Wadah Menegakkan Agama” – Dr Khairuddin Takiri

KUALA LUMPUR, 19 April – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Khairuddin Takiri menegaskan bahawa parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukanlah agama, sebaliknya hanyalah wadah yang ditubuhkan untuk menegakkan agama Islam melalui pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO baru-baru ini yang menyebut bahawa “parti bukan agama tetapi Islam adalah agama,” beliau menyatakan kekesalan terhadap tindakan segelintir pihak yang cuba memprovokasi kenyataan tersebut dengan niat politik sempit.

“Sebagai umat Islam, kita boleh berbeza dari sudut parti, tetapi kita tetap satu dalam agama. Agenda besar kita ialah untuk mempertahankan Islam,” katanya.

Menurut beliau, UMNO sendiri sejak awal penubuhannya telah meletakkan Islam sebagai asas perjuangan parti, selaras dengan Artikel 3 Perlembagaan UMNO yang menyatakan bahawa parti itu mendokong cita-cita untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan agama Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

“Dalam konteks demokrasi, parti politik ditubuhkan sebagai medium untuk mendapatkan kuasa bagi tujuan menegakkan agama dan mentadbir negara dengan panduan agama,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru agar umat Islam di Malaysia mengekalkan adab dan akhlak Islam dalam berpolitik, meskipun berbeza parti dan pandangan.

“Islam menyatukan kita. Maka dalam berpolitik, janganlah saling mengutuk atau mengecam. Sebaliknya, kita perlu saling menegur dengan bahasa yang baik serta menghormati perbezaan pandangan dan idea,” pesan beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit