PRK Ayer Kuning: Dr Ustaz Yusri Zahir Rasa Syukur, Kerjasama Jentera Amat Jitu

TAPAH, 15 April – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir menzahirkan rasa syukur apabila melihat kerjasama yang ditonjolkan oleh para jentera ketika tempoh berkempen amat jitu.

Ujarnya, beliau mengharapkan agar momentum tersebut dapat berjalan dengan lancar dan diteruskan sehingga hari pengundian pada 26 April ini.

“Saya bersyukur kerana pada hari yang keempat ini, saya dapati momentum kempen berjalan dengan baik dan memberangsangkan. Saya seperti biasa mengharapkan keadaan ini akan berterusan sehinggalah hari pengundian pada 26 April nanti.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana semua jentera memberikan kerjasama yang sangat hebat. Ini yang kita kehendaki dalam suasana jalinan baik di antara parti komponen BN dan Pakatan Harapan (PH). Ianya satu komitmen yang sangat baik,” katanya.

Beliau ditemui ketika majlis Ramah Mesra bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Tiga, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohamad Shahar Abdullah dan para pemimpin UMNO Negeri Pahang yang lain.

Ujarnya, beliau akan berusaha untuk meneruskan apa yang telah dirancang oleh pemimpin terdahulu terutamanya melalui aspek pembangunan sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu.

“Selain berkempen secara bersemuka, kami turut menggunakan media sosial sebagai medium agar lebih dikenali oleh para pengundi. Insya-Allah kita akan menggunakan manfaat kempen ini secara sihat termasuklah di media sosial ini.

“Kita akan berusaha untuk meneruskan apa yang telah dirancangkan melalui aspek Pembangunan, keperluan penduduk. Kita akan teruskan sehingga rakyat merasa selesa dengan sumbangan yang kita berikan kepada mereka.

“Saya harap sokongan yang diberikan ini akan berterusan sehingga hari pengundian nanti agar kita dapat satu kejayaan yang besar yang kita rancang. Insya-Allah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit