Tengku Adnan Seru Perwakilan UMNO Manfaatkan Persidangan Cawangan Perkukuh Parti

KUALA LUMPUR, 7 April – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru agar seluruh perwakilan UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri di seluruh negara memanfaatkan sebaik mungkin Persidangan Cawangan yang bermula hari ini hingga 25 Mei.

Ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, jadikan persidangan ini sebagai wadah untuk memperkukuhkan parti dan memperteguh semangat perjuangan di peringkat akar umbi.

“Gunakan ruang bermesyuarat ini untuk memperkukuh dan memperkasakan kekuatan parti. Inilah masa terbaik untuk kita berbincang secara matang, mengemukakan pandangan membina serta mencari jalan terbaik demi memastikan UMNO terus kukuh, relevan dan diyakini oleh rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan UMNO terletak pada ahli-ahlinya yang berada di peringkat cawangan, yang menjadi nadi dan tulang belakang kepada perjalanan keutuhan parti selama ini.

“Ahli-ahli UMNO di cawangan merupakan aset utama kita. Tanpa sokongan padu daripada mereka, sukar untuk parti ini untuk terus berkembang dan berkhidmat kepada rakyat.

Justeru, setiap ahli perlu memainkan peranan masing-masing dalam memperkasakan parti malah sama-sama kembali memperteguh demi kelangsungan perjuangan,” ujarnya.

Tengku Adnan juga menyeru agar seluruh perwakilan yang bersidang sentiasa menghayati sejarah penubuhan UMNO dan tidak melupakan asas perjuangan parti yang telah bertahan lebih tujuh dekad untuk membela nasib rakyat berteraskan agama, bangsa, dan negara.

“Kita perlu kembali kepada akar umbi dan tujuan asal penubuhan UMNO. Perjuangan kita adalah perjuangan yang penuh dengan pengorbanan demi agama, bangsa dan tanah air. Jangan sesekali kita lalai atau leka daripada matlamat murni ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, masa depan UMNO bukan sahaja bergantung kepada pimpinan di atas, tetapi juga bergantung kepada sejauh mana ahli-ahli di bawah memainkan peranan masing-masing secara aktif dan penuh tanggungjawab.

“Sama-sama kita teruskan perjuangan ini dengan semangat muafakat dan kematangan. Bincanglah demi masa depan parti dan anak bangsa.

“Kita bukan sahaja mewarisi parti ini, tetapi kita juga memikul amanah besar untuk memastikan UMNO terus menjadi payung kepada rakyat,” tambah Tengku Adnan lagi.

Persidangan cawangan UMNO seluruh negara diadakan bermula hari ini dan akan berakhir pada 25 Mei yang akan disusuli mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 9 Jun hingga 27 Julai.

Menyusul kemudian ialah Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit