PRK Ayer Kuning: ‘Jangan Disangka Air Yang Tenang Tak Ada Buaya’ – Dr Azhar
KUALA LUMPUR, 1 April – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan semangat Kerajaan Perpaduan memberikan kelebihan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan penguasaan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) April ini.
Beliau berkata ia termasuk dengan khidmat bakti telah dilakukan penyandang Allahyarham Ishsam Shahruddin yang dilihat sentiasa cakna dan prihatin dengan permasalahan dihadapi rakyat serta pembangunan di kawasan.
“Allahyarham Ishsam orang baik, pemimpin berjiwa rakyat sahabat kita ini sekecil-kecil dan sebesar-besar program dia layan… seorang ADUN yang sangat baik dilahirkan oleh BN daripada UMNO. Jadi iyalah kita merancang tapi dia pergi awal terpaksa diadakan pilihan raya.
“Hari ini kita jangkakan BN lawan dengan Perikatan Nasional (PN), kalau BN campur Pakatan Harapan (PH) nampak kita dapat undi besarlah atas kerjasama itu kan? Tetapi apakah undi itu masih kekal kepada kita ataupun sudah beralih arah? Kalau tengok atas kertas nampak mudah tetapi, jangan disangkakan air yang tenang itu tak ada buaya,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Dr Azhar dalam pada itu berkata meskipun Ayer Kuning merupakan kerusi tradisi UMNO/BN namun ia bukan tiket untuk berlapang dada kerana dikhuatiri pembangkang menggunakan helah dalam meraih sokongan rakyat.
Beliau dalam pada itu turut menyambut baik pendekatan dilaksana UMNO Bahagian Tapah dan akar umbi parti sebagai persiapan awal bagi menghadapi PRK ini.
“Kita juga perlu ada rasa sedikit kebimbangan akan pengundi-pengundi orang Melayu kerana racun-racun yang dibuat oleh parti pambangkang ini sangat kuat meracuni pemikiran-pemikiran orang Melayu.
“Masa masih banyak kita pun sudah mula turun ke bahagian Tapah khususnya dalam DUN Ayer Kuning kena tengok daripada Jalinan Rakyat melalui statistik-statistik baru dengan pengundi-pengundi baru,” ujar beliau.
Dr Azhar berkata kekuatan jentera juga memberikan kelebihan kepada UMNO/BN yang sinonim dengan parti yang mempunyai akar umbi berstruktur dalam melaksanakan gerak kerja.
“UMNO/BN ini mempunyai jentera yang cukup, jentera yang berstruktur. Jadi kita boleh kenalpasti kerana telah bergerak awal, mana-mana kelemahan kita itu boleh ditampung dalam tempoh yang ada.
“Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pun sudah turun jadi saya yakin peluang itu memang ada kepada UMNO/BN,” katanya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online