Jadikan Aidilfitri Peluang Rapatkan Saf Perjuangan – Mu’izz
KUALA LUMPUR, 1 April – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin menyeru semua pihak untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai peluang bagi merapatkan saf perjuangan.
Ujarnya, Syawal ini juga merupakan refleksi tentang perjuangan dan bagaimana untuk membina semula kekuatan parti pada masa akan datang.
“Salam Aidilfitri kepada seluruh kepimpinan UMNO, para ahli dan akar umbi yang terus setia dalam perjuangan parti. Syawal ini bukan sekadar bulan kemenangan dalam erti kata perayaan, tetapi juga satu refleksi tentang perjuangan kita.
“Kemenangan sebenar bukan hanya di atas kertas atau sekadar mengenang kejayaan lalu, tetapi bagaimana kita dapat terus membina semula kekuatan UMNO untuk masa depan yang lebih gemilang.
“Aidilfitri ini sepatutnya menjadi peluang untuk kita merapatkan kembali saf perjuangan, memperkukuh hubungan sesama ahli, dan mengukuhkan semangat setiakawan dalam parti,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut mengajak para pemimpin, ahli dan akar umbi parti untuk melangkah ke hadapan dengan semangat baharu dan berpadu berdasarkan fokus yang lebih jelas.
“Kita mungkin datang daripada latar belakang dan pandangan yang berbeza, tetapi matlamat kita tetap satu, iaitu memastikan UMNO terus relevan dan menjadi wadah terbaik untuk rakyat.
“Saya juga ingin mengajak semua untuk melihat ke hadapan dengan semangat baru. Apa jua cabaran yang telah kita lalui, biarlah ia menjadi pengajaran, bukan pemisah. Kita harus kembali kepada asas perjuangan dengan tekad yang lebih kuat, kesatuan yang lebih erat, dan fokus yang lebih jelas.
“Saya mendoakan agar seluruh ahli UMNO diberi kesihatan, kekuatan, dan keazaman yang tinggi untuk terus berjuang demi agama, bangsa, dan negara. Semoga Syawal ini membawa sinar baru, bukan sahaja untuk UMNO, tetapi untuk kita semua sebagai sebuah keluarga besar dalam perjuangan ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman