Hormati Hak Dan Pelihara Harmoni Bersama – Pemuda BN

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pemuda Barisan Nasional (BN) menyambut baik pendekatan harmoni Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan berhubung isu pihak Jakel dan  Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang mendapat perhatian umum.

Setiausahanya, Hafiz Harifin  berkata isu berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh mengambil kira latar belakang pemilikan tanah, sensitiviti agama, keperluan komuniti serta prinsip undang-undang.

“Saya menyambut baik pendekatan harmoni Perdana Menteri dan kerajaan melalui penyediaan tapak ganti kepada pihak kuil, langkah progresif yang mencerminkan komitmen terhadap keharmonian antara agama.

“Namun begitu, tindakan menggantikan tanah dalam kes-kes seperti ini tidak seharusnya dijadikan amalan lazim. Ia mesti berlandaskan prinsip undang-undang dan keadilan agar tidak menimbulkan persepsi berat sebelah di masa hadapan.

“Dalam masa yang sama, hak pemilik tanah perlu dihormati. Kesediaan Jakel untuk menangguhkan pembinaan, menjalani rundingan selama lebih 11 tahun, dan tidak meneruskan tindakan undang-undang menunjukkan jiwa besar pihak swasta yang wajar dipuji,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi Malaysia hanya akan kekal harmoni jika kita mengamalkan toleransi, menolak provokasi, dan memberi ruang kepada penyelesaian melalui rundingan.

Tambahnya isu seperti ini tidak wajar dipolitikkan atau dimainkan atas sentimen agama dan insiden ini adalah sebagai teladan dan semangat bersama untuk terus memelihara keharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit