Dekati Semua Lapisan Masyarakat, Kukuhkan Khidmat Kepada Rakyat – Mohd Isam
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Ketua UMNO Bahagian Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa bersyukur dapat mengadakan pertemuan bersama jawatankuasa UMNO di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasannya.
“Dalam pertemuan ini saya menekankan pentingnya UMNO Bahagian Tampin mendekati semua lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi parti, dengan tujuan memperkukuh perjuangan dan khidmat kepada rakyat.
‘Saya menegaskan bahawa kekuatan UMNO terletak pada solidariti dan kesetiaan ahli di semua peringkat, khususnya akar umbi, untuk terus bersama memperjuangkan matlamat parti walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” ujar Ahli Parlimen Tampin itu dalam satu catatan di laman rasmi Facebooknya.
Tambah Mohd Isam lagi, aktiviti-aktiviti perlu diteruskan bagi mencerminkan usaha berterusan UMNO Bahagian Tampin dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat dan ahli parti.
Terdahulu di platform media sosialnya itu, Mohd Isam turut berkongsi aktiviti sehariannya sebagai wakil rakyat bermula awal pagi hingga ke malam.
Antaranya, menghadiri Program Semarak Syawal anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan di Pasar Tani Tampin dan mengadakan lawatan ke perkampungan Orang Asli Taman Tasek Tampin, Ulu Pondoi dan Tebong Pasir bagi menyampaikan sumbangan Syawal kepada mereka yang memerlukan.
Seterusnya, Mohd Isam juga berkesempatan melawat pesakit di Hospital Tampin serta menyampaikan sumbangan dan kuih raya sebagai tanda ingatan dan sokongan kepada mereka yang sedang menerima rawatan.
Lewat petang, Mohd Isam hadir majlis iftar bersama komuniti di Surau Taman Indah, Tampin. – UMNO ONLINE