Peluang Sertai TVET Sebagai Pilihan Utama Kerjaya – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan permohonan bagi UP_TVET Perdana ambilan Julai 2025 akan dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun 2025.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara memaklumkan ia bagi memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu yang berminat untuk meneroka bidang kemahiran yang relevan dengan industri.

“Justeru, saya menyeru semua lapisan masyarakat agar memanfaatkan peluang ini dan menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.

“TVET bukan sahaja membuka laluan pekerjaan yang luas, tetapi juga membentuk tenaga kerja yang lebih berdaya saing dalam pasaran global,” katanya menerusi satu kenyataan.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, sila layari https://mohon.tvet.gov.my

Menurut beliau sejak tahun 2023, kerajaan telah memperkenalkan saluran tunggal menerusi portal Unit Pengambilan TVET atau singkatannya UP_TVET bagi menyelaraskan permohonan kemasukan ke semua institusi TVET yanglebih fleksibel, mengikut keperluan dan minat individu.

“Antaranya UP_TVET Perdana (Institusi TVET Awam Sahaja) menawarkan program TVET sepenuh masa di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Permohonan dibuka dua kali setahun bagi pengambilan Januari dan Julai.

“Manakala UP_TVET Flexi (Institusi TVET Awam & Swasta) menyediakan kursus jangka panjang dan pendek yang lebih fleksibel. Terbuka kepada semua individu yang ingin meningkatkan kemahiran atau menukar bidang kerjaya. Permohonan dibuka sepanjang tahun bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar dan tenaga kerja,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata era ekonomi digital dan perindustrian yang berkembang pesat TVET menjadi tunjang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor-sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau, dan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, graduan TVET bukan sahaja mendapat akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas, malah berpeluang menyumbang kepada inovasi dan kemajuan negara.

“Di Malaysia, kini terdapat 1,398 institusi TVET, terdiri daripada 673 institusi TVET awam, 697 institusi TVET swasta, dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.

“Ekosistem TVET yang luas dan dinamik ini menawarkan program kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri serta perkembangan ekonomi semasa,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit