Isu Kuil: Berhentilah Jadi ‘Jaguh Songsang’ – Mohd Puad
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, S. Ambiga dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) untuk tidak menjadi ‘jaguh songsang’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpendirian tegas mengenai isu terbabit.
“Saya setuju dengan PMX. Jangan cuba jadi jaguh isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India Kuala Lumpur.
“Tindakan Lawyers for Liberty dan Ambiga agar masjid dibina di tapak alternatif berbaur hasutan agar pihak lain berdegil dan mengabaikan undang-undang.
“Itu tanah milik Jakel. Ia dibeli melalui proses jual beli yang sah. Mana boleh tanah milik kita orang lain pula mahu tentukan apa yang boleh dan tidak boleh dibangun di atasnya,” katanya.
Ujarnya, peguam sepatutnya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan Jakel telah mengambil langkah harmoni kerana bersedia menanggung kos pindah kuil ke tapak baharu.
“Biarlah Jakel, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak kuil berunding. Kenapa LFL dan Ambiga menyibuk? Kamu peguam. Patuhilah undang undang. Reformasi apa yang kamu perjuangkan?
“Bukankah Jakel mengambil langkah harmoni kerana sedia menanggung kos pindah kuil ke tapak baru yang disediakan? Mana harmoninya masjid dan kuil dibina sebelah menyebelah. Akan ada masalah di kemudian hari. Berhentilah jadi jaguh songsang,” katanya.
Pada Jumaat, Anwar memberi peringatan kepada pihak luar antaranya penunggang agama dan peguam supaya tidak menjadi jaguh berhubung isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang didirikan di atas tanah milik syarikat Jakel.
Menurutnya, ketika ini rundingan untuk menyelesaikan perkara itu sedang dijalankan dan pihak luar juga diingatkan tidak membuat kenyataan yang boleh menggugat kesejahteraan kaum di negara ini. – UMNO Online