Banjir Johor: Sentiasa Berwaspada, Utamakan Keselamatan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar semua pihak berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga berikutan banjir yang melanda beberapa daerah di Johor.

Dilaporkan, hujan lebat berterusan sejak semalam telah menyebabkan beberapa sungai melepasi paras bahaya, dan pihak berkuasa sedang memantau keadaan ini dengan rapi.

“Saya telah menerima laporan mengenai situasi banjir yang melanda beberapa daerah di Johor, khususnya Johor Bahru, Kulai, dan Pontian, yang mengakibatkan hampir 900 penduduk terpaksa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ujar Ahmad Zahid, usaha bantuan bersama agensi berkaitan terus diselaraskan bagi memastikan setiap keperluan mangsa banjir dipenuhi dengan segera.

“Kerajaan komited untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan mengambil segala langkah perlu bagi menangani situasi ini dengan sebaiknya.

“Saya mendoakan agar semua yang terjejas diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. Marilah kita bersama-sama berdoa agar keadaan segera pulih dan urusan bantuan dipermudahkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit