Program “Moh Dogheh Isi Minyak Motor Percuma” Dapat Sambutan Meriah di DUN Sungai Lui
SUNGAI LUI, 18 Mac – Program “Moh Dogheh Isi Minyak Motor Percuma” yang diadakan di Stesen Minyak Smart FELDA Pasoh 3 semalam mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, khususnya para penunggang motosikal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui.
Program ini merupakan inisiatif Ahli Parlimen Jelebu merangkap Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dengan tujuan membantu meringankan beban rakyat.
Turut hadir mewakili beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali, yang menyempurnakan program berkenaan.
Menurut Mohd Razi, program ini adalah antara usaha berterusan pemimpin setempat dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terbela, sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menjaga kesejahteraan rakyat.
“Sudah lama rasanya tiada program seperti ini. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
“Terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelebu serta pihak Smart Pasoh 3 yang turut bekerjasama menjayakan program ini,” katanya.
Beliau turut berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.
Program yang berlangsung dengan penuh kemeriahan itu berjaya memberikan manfaat kepada ramai penunggang motosikal di kawasan sekitar, sekali gus mencerminkan keprihatinan pemimpin terhadap keperluan rakyat. – UMNO Online